SIARAN MEDIA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ‘ADAT MELAYU PERAK (MAIPk) DANA KHAS AGIHAN ZAKAT MEMBANTU USAHA MENGHADAPI PANDEMIK WABAK COVID-19
Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah AlMaghfur-Lah, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama beberapa rakan strategik, memperuntukkan Dana Khas Agihan Zakat, bertujuan meringankan bebanan rakyat dan membantu usaha pelbagai pihak menghadapi pandemik Wabak Covid-19.
Dana khas ini, yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, keseluruhannya berjumlah RM11,950,000.00 (Ringgit: Sebelas perpuluhan sembilan lima juta), RM11,110,000.00 (Ringgit: Sebelas perpuluhan sebelas juta sahaja) daripada peruntukan zakat, RM30,000.00 (Ringgit: Tiga puluh ribu sahaja) sumbangan Pengerusi Yayasan SP Setia, RM800,000.00 (Ringgit: Lapan ratus ribu sahaja), sumbangan daripada bahagian zakat beberapa sektor korporat. Dana khas yang disediakan bertujuan membiayai bantuan-bantuan berikut:-
Panduan Memohon Bantuan Khas Dan Zakat Maipk Ekoran Penularan Wabak Covid-19 –>
- Bantuan Kotak Makanan (tambahan) – RM240,000.00 Bantuan disalurkan melalui Bilik Gerakan Covid-19 di bawah kendalian Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Negeri Perak.
- Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup – RM5,800,000.00 Bantuan disasarkan kepada Ketua Isi Rumah berpendapatan RM2,000.00 dan ke bawah yang terjejas sumber pendapatan atas sebab diberhentikan kerja, diberi cuti tanpa gaji, terhenti operasi atau sebab-sebab lain yang munasabah. (Syarat-syarat dan cara memohon boleh dirujuk di LAMPIRAN A.
- Bantuan Khas Modal Pusingan – RM2,000,000.00 Bantuan disasarkan kepada peniaga, penjaja dan usahawan yang pernah menerima bantuan modal perniagaan daripada MAIPk yang terjejas perniagaan mereka akibat Perintah Kawalan Pergerakan.
- Bantuan Terputus Bekalan Makanan – RM100,000.00 Bantuan disasarkan kepada mahasiswa/mahasiswi di IPTA dan IPTS di seluruh negeri Perak yang masih tinggal di tempat pengajian mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
- Bantuan Pengurusan dan Kebajikan Pelajar Luar Negara – RM100,000.00 Bantuan disasarkan kepada mahasiswa/mahasiswi negeri Perak yang sedang berada di luar negara (Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain negara) untuk tujuan pengurusan dan kebajikan.
- Sumbangan Khas Petugas Barisan Hadapan Covid-19 RM500,000.00 Sumbangan disalurkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi lain untuk keperluan kebajikan petugas-petugas ketika bertugas di barisan hadapan.
- Sumbangan Khas Peralatan Kesihatan dan Perubatan RM1,000,000.00 Sumbangan disediakan untuk disalurkan kepada hospital-hospital di negeri Perak bagi menampung keperluan peralatan rawatan dan perubatan menangani Covid-19, berdasarkan cadangan atau permintaan dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
- Sumbangan Khas Peralatan Pencegahan Covid 19 RM1,500,000.00 Sumbangan ini berbentuk pembelian peralatan pencegahan penularan seperti topeng muka dan hidung, sarung tangan dan hand sanitizer untuk disalurkan kepada masjid, surau dan masyarakat awam di Negeri Perak.
- Pelan Kontingensi – RM710,000.00 Berdasarkan keperluan yang mendesak bagi menampung apa-apa keperluan luar jangka pada masa akan datang
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan menyedari dan prihatin bahawa pandemik Covid-19 memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat terutama dalam kalangan mereka yang tidak berpendapatan tetap dan mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah.
Oleh itu, Baginda menitahkan dan memberi perkenan agar sumber zakat negeri memperuntukkan dana khas bertujuan untuk meringankan beban kesukaran yang sedang ditanggung oleh rakyat ketika ini.
Sebarang maklumat lanjut orang awam boleh melawat laman rasmi Facebook Zakat Perak-MAIPk dan Portal Rasmi MAIPk di pautan http://maiamp.gov.my/.
Senarai Lengkap Bantuan Kewangan Kerajaan Untuk Rakyat Akibat Covid-19 –>
LAMPIRAN A
Syarat-syarat permohonan;
- Khusus untuk umat Islam yang bermastautin atau bekerja di Negeri Perak.
- Mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM2,000 (tertakluk kepada Had Kifayah MAIPk).
- Terkesan Covid-19 samada tidak dapat menjalankan urusniaga/pekerjaan harian /diberhentikan kerja atau direhatkan tanpa gaji bermula Mac 2020.
- Berkeluarga (hanya ketua keluarga sahaja boleh memohon).
- Nama pemohon dan nama pemegang akaun bank mesti sama untuk memastikan tidak menggunakan kad pengenalan orang lain.
- Keutamaan kepada Asnaf Fakir Miskin yang pernah berdaftar dengan MAIPk, kecuali penerima Bantuan Bulanan Kewangan MAIPk, Bantuan JKM atau Kad Prihatin Perak.
- Orang awam boleh merujuk pautan https://isyura.maiamp.gov.my/kecemasan untuk permohonan atas talian.
- Orang awam yang tidak mempunyai kemudahan internet boleh membuat pertanyaan lanjut berkaitan pelarasan bantuan, dengan menghubungi MAIPk di Talian Hotline 05-2084085 (mulai jam 9.00 pagi – 1.00 petang IsninJumaat).
- Selain itu bagi sebarang pertanyaan lain yang berkaitan, orang awam boleh mengubungi Talian Hotline Bilik Gerakan Covid-19 Negeri Perak di talian 05-2413064 / 05-2413062.
Sumber: Zakat Perak-MAIPk
KOMEN TERKINI