
BANTUAN KHAS KEWANGAN (PRIHATIN 2020): RM500 UNTUK PENJAWAT AWAM DAN PESARA
Kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk dengan pekerja kontrak serta pesara perkhidmatan awam yang memilih skim pencen akan menerima Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 secara tunai sebanyak RM500 ‘one-off’ sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Pemberian Bantuan Khas Kewangan ini adalah sebagai tanda kerajaan menghargai sumbangan perkhidmatan yang telah diberikan oleh golongan ini kepada rakyat selain membuktikan bahawa kerajaan komited dalam menjaga kebajikan semua penjawat awam yang terus setia menjalankan amanah kepada negara.
BACA LANJUT: Permohonan Baru Dan Rayuan Bantuan Prihatin Nasional Akan Dibayar Mei Ini
BERIKUT ADALAH INFO LANJUT DAN SYARAT-SYARAT YANG DITETAPKAN;
Bantuan Khas Kewangan secara tunai sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak serta pesara perkhidmatan awam yang memilih skim pencen akan dibayar pada 23 April 2020.
PEGAWAI YANG LAYAK
Pegawai yang layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 adalah seperti berikut:
- Pegawai lantikan tetap, sementara dan contract of service1
- Pegawai yang bercuti bergaji penuh
- Pegawai yang bercuti separuh gaji
- Pegawai yang bercuti tanpa gaji; dan
- Pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya. Bantuan Khas Kewangan ini akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai.
Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 juga dipanjangkan kepada:
- Guru interim
- Pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya; dan
- Pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran dan Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971
PEGAWAI YANG TIDAK LAYAK
Pegawai yang tidak layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 adalah:
- Pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku, dipinjam/ tukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama/ Gred Khas
- Pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib dalam tempoh 1 Januari 2020 hingga 23 April 2020
- Pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dalam tempoh 1 Januari 2020 hingga 23 April 2020; dan
- Pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari 2020 hingga 23 April 2020
PEGAWAI YANG DITANGGUHKAN BANTUAN KHAS KEWANGAN
Pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ditangguhkan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 ini. Pegawai hanya layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 sekiranya Pihak Berkuasa Tatatertib mendapati pegawai tersebut tidak bersalah
PEKERJA SAMBILAN HARIAN (PSH)
Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 sebanyak RM500.00 dipanjangkan kepada PSH yang masih berkhidmat pada 23 April 2020 dengan syarat tempoh kontraknya telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
PESARA
Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 kepada pesara Kerajaan yang memilih skim pencen dan penerima pencen terbitan pada atau sebelum 23 April 2020 di bawah undang-undang pencen akan dibayar sebanyak RM500.00 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
Pesara yang dilantik semula secara contract of service dan masih berkhidmat pada 23 April 2020 layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 sebanyak RM500.00. Pembayaran sebanyak RM250.00 akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan bakinya sebanyak RM250.00 akan dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat.
PEGAWAI MENINGGAL DUNIA DALAM PERKHIDMATAN
Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang meninggal dunia pada 23 April 2020 layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 sebanyak RM500.00. Pembayaran kepada mana-mana penerima pencen terbitan yang layak di bawah undang-undang pencen sebanyak RM500.00 akan dibayar oleh jabatan terakhir pegawai berkhidmat.
TARIKH PEMBAYARAN
Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 ini akan dibayar pada 23 April 2020.

BACA LANJUT: Cara Kemaskini Akaun Bank Bantuan Prihatin Nasional (BPN)
PEKELILING BANTUAN KHAS KEWANGAN PENJAWAT AWAM DAN PESARA KERAJAAN TAHUN 2020
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2020 berhubung dengan maklumat Bantuan Khas Kewangan selaras dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.
Pekeliling tersebut menerangkan secara terperinci tentang pelaksanaan pembayaran Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020. Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan pelaksanaan pembayaran Bantuan Khas Kewangan ini, sila klik pada ruangan judul pautan (link) di bawah.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2020 Bantuan Khas Kewangan PRIHATIN –>
Terkini Menteri Pertahanan juga baru sahaja mengumumkan bahawa Veteran ATM tidak berpencen juga akan terima Bantuan Khas Kewangan RM500 secara one-off.
Semoga dengan bantuan dan kemudahan yang disediakan ini akan dapat meringankan beban kakitangan kerajaan dan pesara yang selama ini berkhidmat serta berbakti kepada negara yang mana turut terjejas ekoran penularan wabak covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuat kuasankan di Negara kita ini.
Setinggi perhargaan kepada pihak kerajaan di atas keprihatinan serta tanggungjawab yang dilaksanakan kepada hampir 34 juta rakyat di Negara ini. Insyallah..
KOMEN TERKINI