Gambar – Perak Today

INFO: BANTUAN BINA RUMAH – MAIPK

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menjadi agensi terbesar di negeri ini dalam menyediakan inisiatif bantuan membina dan membaik pulih rumah kepada golongan yang memerlukan dengan peruntukan agihan zakat hampir RM20 juta setiap tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari, lebih RM13 juta diperuntukan untuk membina 290 rumah baru di bawah program pembangunan sosial dan RM6.64 juta bagi menyelenggara 481 rumah, bagi tahun lalu.

Katanya, jumlah tersebut selari dengan sasaran MAIPk iaitu sekurang-kurangnya menyediakan 300 buah rumah baru dan membantu baik pulih 500 rumah golongan asnaf pada setiap tahun.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: PUBI Perak Melancarkan Platform Kedai Online Yang Pertama Di Bandar Ipoh

“MAIPk menerima 140 permohonan setiap bulan bagi skim baik pulih rumah. Walaupun permohonan lebih 1,000 setiap tahun namun sasaran kita hanya 300 buah rumah sahaja.

“Dalam 300 buah pula itu mempunyai pelbagai kategori. Ada kategori rumah yang mempunyai tiga bilik, dua bilik dan satu bilik,” katanya.

Jelas beliau, berbeza dengan Pendapatan Garis Kemiskinan ( PGK) nasional, MAIPk mengambil kira nilai kecukupan asnaf dalam meluluskan sebarang permohonan bantuan.

Ujarnya MAIPk tidak mempunyai garis panduan standard sebaliknya nilai kecukupan asnaf itu diukur berdasarkan kepada keperluan golongan itu yang berbeza-beza.

“Nilai kecukupan itu bergantung kepada keperluan asas sesebuah keluarga asnaf untuk menjalani kehidupan. Ia berbeza dengan PGK.

“Jadi, had kecukupan ini juga hal kifayah, yang mana ia melalui proses perakuan dan pengesahan daripada jawatankuasa fatwa. Sebab ia perlu melepasi aspek hukum Islam.

“Dan inilah sebagai asas untuk menentukan keperluan bantuan terhadap individu atau keluarga asnaf,” katanya lagi

Jelas Shahrul Azam, selain bantuan bina rumah baru dan penyelengaraan rumah, kaedah sama turut terpakai pada pengagihan bantuan wang bulanan, bantuan kesihatan dan pelajaran.

Facebook rasmi Zakat Perak – MAIPk baru-baru ini telah berkongsi tentang Bantuan Bina Rumah ini dan memaklumkan syarat-syarat utama kelayakan untuk menerima bantuan bina rumah ini.

Antara syarat-syarat utama yang digariskan dan pemohon mestilah memenuhi syarat-syarat tersebut adalah;

  1. Terdiri dari kalangan asnaf fakir, miskin dan muallaf.
  2. Pemohon & isteri atau mana-mana ahli keluarga masih belum mempunyai rumah sendiri atau rumah sedia ada dalam keadaan terlalu daif.
  3. Pemohon hendaklah mengemukakan surat akuan bersumpah. Bagi mengesahkan beliau tidak mempunyai rumah lain.

Untuk mendapat maklumat yang lebih lanjut layari www.maiamp.gov.my atau hubungi 05 208 4000 untuk sebarang pertanyaan. Anda juga boleh hadir ke pejabat Majlis Agama Islam & ‘Adat Melayu Perak di alamat Tingkat 1, Kompleks Islam Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh, Perak untuk memohon bantuan bina rumah ini.

Sumber Berita: Perak Today