PEMBUKAAN SEMULA PASAR MALAM PUBI PERAK @ TAMAN PINJI MEWAH

Alhamdulillah, susulan dengan pengumuman Kerajaan baru-baru ini yang telah membenarkan semula aktiviti ekonomi iaitu operasi pasar malam diadakan dengan syarat SOP yang telah ditetapkan dan diketahui oleh umum.

Pihak Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI) telah mengambil maklum dan melihat kepada situasi Covid-19 yang semakin terkawal masa kini maka kami telah memutuskan untuk membuka semula operasi Pasar Malam anjuran kami secara berperingkat dimulai dengan pembukaan semula operasi Pasar Malam PUBI Perak di Bandar Seri Botani pada 15hb Julai 2020 yang lalu.

Terkini, pihak pengurusan PUBI Perak di bawah Jawatankuasa Pasar Malam dan Bazaar (JKPMB) telah memutuskan untuk membuka semula operasi pasar malam anjuran kami yang kedua di Taman Pinji Mewah, Ipoh Perak.

AKTIVITI PERSATUAN YANG LALU: Kunjungan Hormat Pegawai Perkeso

Info berkaitan pembukaan semula operasi pasar malam anjuran PUBI Perak tersebut adalah seperti berikut;

▶️ Nama Pasar Malam : Pasar Malam PUBI Perak @ Taman Pinji Mewah

▶️ Lokasi : Kawasan Lot Parkir bersebelahan dengan Jalan Persiaran Zarib 3, Taman Pinji Mewah, Ipoh Perak.

▶️ Tarikh Pembukaan Semula : 03hb September 2020 (Khamis)

▶️ Hari & Masa : Setiap Khamis, 4 – 10pm

Oleh itu, PUBI Perak ingin menjemput penduduk di kawasan sekitar untuk hadir beramai-ramai pada hari pembukaan semula Pasar Malam ini dan memberi sokongan padu kepada peniaga-peniaga yang telah kehilangan punca pendapatan susulan penularan wabak covid-19 di negara kita baru-baru ini.

Walaubagaimanapun, pengunjung yang ingin berkunjung ke pasar malam ini haruslah mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan seperti berikut;

  1. Pelanggan perlu mendaftar menggunakan QR CODE atau buku daftar, diambil suhu badan dan menggunakan hand sanitizer yang disediakan.
  2. Tempoh masa pengunjung di dalam zon pasar malam adalah terhad kepada 20 minit untuk setiap pengunjung sahaja.
  3. Hanya 2 orang dari satu keluarga sahaja dibenarkan pada satu-satu masa dan had umur adalah 13 tahun ke atas.
  4. Aliran pergerakan pengunjung adalah sehala sahaja dan tidak boleh berpatah balik.

Pihak persatuan berharap para pengunjung dapat mengikuti SOP yang telah ditetapkan ini dan bantulah kami menaikkan semula sektor perniagaan pasar malam yang telah menguncup buat masa ini.

Dengan bantuan daripada anda semua, aktiviti ekonomi ini akan berjalan dengan rancak semula dan para peniaga akan dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka pada era pasca pandemik covid-19 ini.

Sokongan daripada anda semua amatlah dialu-alukan dan dihargai. Berbelanjalah di pasar malam kami disamping mendapat keperluan harian yang bermanfaat dan berguna untuk keluarga anda semua.

Insyallah..