SIAPA SANGKA BERMULA DENGAN PERNIAGAAN DI PASAR MALAM SECARA KECIL-KECILAN, KEDAI PAKAIAN DAN BARANG KEPERLUAN ‘PASARAYA KU’ KINI MEMILIKI HAMPIR 74 CAWANGAN DI SELURUH MALAYSIA DAN KINI TELAH MEMASUKI PASARAN INDONESIA.
Pasaraya Ku adalah sebuah gedung pakaian yang menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana terkenal dengan harganya yang murah serta berpatutan. Gedung ini sangat popular dan sering dikunjungi oleh masyarakat kita terutamanya golongan yang berpendapatan sederhana. Pada tahun 2016, gedung pakaian ini telah menerima anugerah ‘Kedai Harga Patut’ oleh KPDNKK kategori kedai pakaian.
Produk dihantar ke cawangan setiap minggu untuk membawa rekaan terkini dan menampung permintaan pelanggan. Sudah pasti kita tertanya-tanya siapakah tuan punya gedung pakaian ini kerana berjaya menambat hati rakyat Malaysia dan begitu popular di kalangan mereka yang berpendapatan sederhana ini serta menjadi pilihan kepada pembeli yang ingin berjimat.
Untuk maklumat semua, Pasaraya Ku telah ditubuhkan dan diasas oleh En. Liew Chee Keong dan Isteri beliau Pn. Sally sekitar tahun 1998. Sebelum memiliki kedai, mereka memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan sekitar tahun 90an sebagai peniaga pasar malam di beberapa tempat di Bandaraya Ipoh dengan dengan menjual pakaian kanak-kanak dan dewasa serta barang keperluan yang lain.
Tidak lama kemudian pada tahun 1998, hasil dari titik peluh mereka berniaga pasar malam. Akhirnya mereka telah berjaya membuka kedai pertama mereka yang diberi nama ‘Pasaraya Ku’ dan terletak di Tanjung Rambutan, Perak. Mereka juga telah mendaftar syarikat untuk mengurus kedai ini di atas nama Pasaraya Ku Trading Sdn. Bhd.
Apabila pembukaan kedai ini mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk setempat di Tanjung Rambutan, maka mereka telah mendapat keuntungan dan dari situlah mereka berjaya menyusun strategi untuk membuka cawangan lain dari masa ke semasa dan sehinggalah pada hari ini.
Setelah hampir 20 tahun penubuhan Pasaraya Ku. En. Liew Chee Keong yang kini telah bergelar Dato’ dan Isteri beliau Datin Sally telah berjaya membuka sebanyak 74 cawangan baharu di seluruh semenanjung Malaysia.
Cawangan Pasaraya Ku biasanya dibuka di kawasan pedalaman untuk membawa barangan yang berkualiti dengan harga berpatutan kepada penduduk sekelilingnya dan adalah menjadi visi dan misi Pasaraya Ku untuk membantu golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah berjimat di dalam berbelanja.
Ini juga bertujuan untuk membuka lebih peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut dan Pasaraya Ku kini mampu menggaji seramai hampir 800 orang pekerja yang kebanyakkannya terdiri daripada golongan bumiputera.
Pasaraya Ku juga kini telah berjaya menubuhkan ibu pejabatnya yang baharu dan serta berjaya membina sebuah gudang yang moden di Kawasan Industri Ringan Bercham, Perak. Infrastruktur yang berwarna-warni ini jelas menggambarkan makna dan misi Pasaraya Ku, mewarnai kehidupan pelanggan.
Setelah hampir 20 tahun menakluki pasaran di Malaysia dan kini tibalah saat yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri ini selaku pangasas Pasaraya Ku apabila mereka telah berjaya membuka 4 cawangan di Indonesia di atas nama korporat ‘Abadi ku’.
Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)
Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) merupakan suatu komitmen bagi golongan korporat dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui amalan perniagaannya dan sumbangan yang dapat diberikan. CSR membawa maksud syarikat bertanggungjawab dengan mengambil kira minat klien, para pekerja, pemegang-pemegang berkepentingan, komuniti dan pertimbangan ekologi dalam semua aspek operasi perniagaan.
Sebagai sebuah syarikat korporat yang mementingkan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, pihak syarikat sentiasa memastikan harga yang ditawarkan adalah berpatutan. Ini bersamaan dengan slogan syarikat iaitu “ Bijak Berbelanja, Harga Rendah Setiap Hari “. Setelah 20 tahun beroperasi, nama syarikat semakin dikenali di kalangan masyarakat tempatan terutamanya di kalangan penduduk di kawasan pedalaman, iaitu kawasan sasaran kami.
Selain daripada penawaran harga yang berpatutan, pihak syarikat sentiasa berusaha dalam menunaikan Tanggungjawab Sosial Korporatnya agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Bersempena dengan acara cabutan bertuah yang telah berlangsung di Pasaraya Ku cawangan Taiping pada 10 Januari 2009, pihak syarikat telah melancarkan projek terbaru kami yang diberi nama “Rumah Inspirasi Ku”.
Nama ini dipilih kerana dengan adanya sokongan pelanggan setia kami, ia telah memberi inspirasi kepada kami untuk memberi sumbangan kepada pertubuhan-pertubuhan yang terlibat sebanyak ringgit Malaysia Satu (RM 1) dari setiap hasil jualan beg kitar semula. Pertubuhan-pertubuhan yang dipilih adalah yang berhampiran dengan setiap cawangan Pasaraya Ku. Projek ini merupakan langkah permulaan kami untuk memberi sedikit sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Harapan kami, projek ini dapat menceriakan golongan yang kurang bernasib baik dengan meringankan beban kewangan mereka. Sekiranya usaha murni ini mendapat sambutan yang menggalakkan, tidak mustahil kami akan meneruskan projek-projek seumpama ini di masa akan datang.
Video CSR Korporat
Video Korporat Pasaraya Ku
Semoga kisah kejayaan Dato’ Liew Chee Keong dan Isteri beliau Datin Sally menerajui Pasaraya Ku sehingga berjaya ke tahap ini menjadi inspirasi kepada semua. Mereka telah buktikan walaupun hanya bermula sebagai peniaga pasar malam, kini telah berjaya memiliki sebuah perniagaan yang besar setaraf dengan syarikat korporat yang lain.
Insyallah..
Baca juga artikel 'Rahsia Datuk Vida Bina Empayar Perniagaan' →
KOMEN TERKINI