SIAPA YANG TIDAK KENAL DENGAN DATUK SERI VIDA AHLI PERNIAGAAN YANG SANGAT BERJAYA DAN MENETAP DI BANDARAYA IPOH INI.
Baru-baru ini beliau telah viral dengan klip video terbarunya yang berjudul ‘Lavida Go Bola’ sempena Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Russia sekarang ini. Sebelum itu video muzik terbaharu beliau yang berjudul ‘Lavida Raya‘ telah mencapai lebih 1.8 juta view di laman youtube sejak dilancarkan pada musim raya baru-baru ini.
Begitulah hebatnya wanita bernama Datuk Seri Dr. Hajjah Hasmizah Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV).
Beliau memiliki ketokohan dan sisi berbeza dalam bidang keusahawanan berikutan kebijaksanaannya menyusun strategi pemasaran serta penjenamaan melangkaui masa depan.
Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu tidak kering idea mencipta identiti dan imej tersendiri untuk memacu dirinya sebagai ahli perniagaan berjaya dalam bidang kecantikan selepas merentasi pelbagai cabaran serta kepahitan.
Bekas guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah Cina itu menggunakan pelbagai strategi berbeza bagi mengukuhkan namanya sebagai usahawan kosmetik paling popular serta berjaya di negara ini.
Beliau selayaknya digelar ikon bidang perniagaan kosmetik. Mempunyai pakej lengkap, personaliti dan ketokohannya yang tidak pernah putus asa, sentiasa tampil unik, pemikir, yakin, idealis dan berani menjadi resipi kejayaan seharusnya dijadikan inspirasi pada wanita lain.
Vida berkata, beliau tidak pernah berhenti berfikir, sentiasa menampilkan konsep dan idea baharu untuk membina jenama besar yang memberi impak serta dicontohi masyarakat.
Popular juga penting untuk mengembangkan dan meluaskan empayar perniagaan dan untuk saham akhirat kerana dapat membuat kerja kebajikan. Kita perlu berani mengambil risiko, tidak malu dan usaha keras untuk meraih populariti menjadi ‘senjata’ untuk bertarung dalam menerajui landskap perniagaan kosmetik – Datuk Seri Vida
STRATEGI PERNIAGAAN
Ikon Usahawan Wanita ini mengakui pelanggan produk kecantikannya juga antara tunggak utama kejayaan jenamanya, selain modul dan strategi perniagaan yang berkesan sehingga mampu memaut perhatian jutaan masyarakat dari seluruh dunia.
Keupayaan menarik perhatian umum memudahkan beliau menjual apa saja produk sama ada secara fizikal atau di laman sosial yang diikuti lebih 1.4 juta pengikut.
Sejak kecil sehingga sekarang beliau diduga dengan pelbagai cabaran. Ayahnya, Othman Abdullah, meninggal dunia ketika beliau berusia sembilan tahun dan beliau sekeluarga hilang tempat bergantung.
Hidup beliau sangat susah selepas kematian ayah. Beliau mula berniaga sejak kecil. Apa saja yang boleh menjana pendapatan, beliau akan buat. Beliau pernah jual nasi lemak orang dengan untung kecil, jual telekung, kain batik, baju dan macam-macam barangan Kelantan, selain bekerja kilang pada cuti semester.
Kenangan yang paling tidak dilupakan beliau adalah ibunya terpaksa menjual sebidang tanah untuk menampung kos perbelanjaan beliau di Universiti Sains Malaysia.
WANITA KENTAL
Ketika memulakan perniagaan kosmetiknya, beliau juga berhadapan banyak cabaran termasuk pernah kerugian beratus ribu ringgit sebelum bangkit dengan menukar strategi perniagaan.
Kini produk Vida Beauty Cosmetics, DSV Gold and Jewelry, Millenia Qu Puteh, Pamoga Vida Beauty, Qu Puteh Beauty dan DSV Sorga Tudung, sudah kukuh.
Sebelum mencipta kekayaan dan fenomena banyak titisan air mata yang tumpah termasuk diduga menerima kehilangan dua anak lelaki, Eddie Zuhdi dan Edrie Zikrie, yang meninggal dunia kerana terperangkap dalam kebakaran di rumah pada 5 Ogos 2013.
Masyarakat juga tidak henti bercakap mengenainya sama ada kisah peribadi seperti tiga kali bercerai selain dikritik, dikeji, gila glamor dan pelbagai lagi, beliau terus positif serta berjiwa kental.
Beliau sangat bersyukur kerana tetap menjadi dirinya dan melalui semua dugaan dengan tabah. Tuhan pula sentiasa kurniakan apa yang beliau mahu dan jadikan ia satu kejayaan.
Kini, beliau mahu fokus merealisasikan banyak lagi agenda dalam perniagaan, membuat amal kebajikan dan melatih dua lagi anaknya, Nur Edlynn Zamilleen dan Eric Zacquan untuk meneraju empayar perniagaannya pada masa depan.
Walaupun mempunyai pembantu peribadi, beliau masih bekerja keras melakukan ceramah kecantikan, menyelia aliran stok, bertemu stokis, mendengar masalah mereka, mengawal penyata kewangan, menghadiri mesyuarat dan menyelia operasi syarikat.
Baca juga kisah kejayaan 'De'xandra' →RAHSIA DATUK VIDA BINA EMPAYAR PERNIAGAAN
Datuk Seri Vida ahkirnya mendedahkan rahsia beliau berjaya membina empayar perniagaan yang terunggul dan berjaya dan ramai yang terkejut iaitu beliau mengamalkan solat hajat sebanyak 10 kali sehari. Inilah rahsia beliau selama ini dan cuba kita semak dan seimbang bilakah kali terakhir kita bersolat hajat untuk memohon sesuatu dari Allah?
Adakah sekerap yang Datuk Seri Vida lakukan? Mampukah kita..? Begitulah rahsia orang yang berjaya. Semoga menjadi contoh dan ikuti buat kita semua.
Insyallah..
KOMEN TERKINI