MAJLIS PERKEBUMIAN ALLAHYARHAM KUDUS ALIE NOVEL @ ABU NAUFAL

Dukacita dimaklumkan bahawa Tuan Kudus Ali Novel bin Mohamat Yunus atau lebih dikenali sebagai Tuan Abu Naufal telah meninggalkan kita semua dan telah kembali ke Rahmatullah pada 18hb November 2021 yang lalu di Wad ICU 6D, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak.

Beliau merupakan Timbalan Pengerusi Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak Bhd (KOPUBI) merangkap Naib Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI) sejak tahun 2017 yang lalu dan di dalam masa yang sama merupakan ahli dan anggota terawal sewaktu tertubuhnya persatuan dan koperasi ini.

Jenazah beliau telah dibawa oleh Ahli Keluarga beliau ke Surau Al-Falah, Taman Song Shoon, Ipoh Perak untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan dan seterusnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya, Ipoh Perak Darul Ridzuan.

AKTIVITI KUMPULAN PUBI YANG LALU: Majlis Bacaan Yassin Dan Doa Selamat Buat Tuan Abu Naufal

Alhamdulillah, dengan izinNya segala urusan perkebumian ini telah berjalan dengan lancar serta dipermudahkan oleh Allah SWT.

Sesungguhnya ini adalah satu kehilangan yang amat besar buat persatuan dan koperasi dan kami sangat-sangatlah bersedih dengan pemergian Allahyarham kerana beliau adalah tulang belakang kepada kedua-dua entiti ini sejak ditubuhkan.

Beliau adalah seorang pemimpin yang gigih menjalankan perniagaan dan bekerja sendiri sebagai ketua keluarga disamping meluangkan masa untuk aktif di dalam persatuan dan gerakan koperasi di Negeri Perak ini.

Untuk makluman semua, beliau juga telah meninggalkan seorang balu serta 4 orang cahayamata di mana yang paling bongsu masih bersekolah dan berumur 11 tahun.

Marilah kita menadah tangan dan memohon kepada Allah SWT supaya mengampunkan segala dosa-dosa Allahyarham Kudus Alie Novel @ Abu Naufal bin Mohamat Yunus dan semoga ditempatkan roh beliau dikalangan orang-orang yang beriman.

Insyallah dan Al-Fatihah dengan bacaan untuk Allahyarham.

#KumpulanPUBI #PUBI #NGOUsahawan #KOPUBI #KoperasiUsahawan