BERSEMPENA DENGAN BULAN RAMADHAN YANG SANGAT MULIA INI PUBI PERAK MENERUSI PROGRAM TUNAS HARAPAN 2019 AKAN MEMBANTU SEBUAH PUSAT JAGAAN ANAK-ANAK YATIM DAN MISKIN DI KAMPUNG MANJOI, IPOH PERAK.

Seperti tahun lepas, PUBI Perak selaku Persatuan Usahawan dan NGO Perak paling aktif di Bandaraya Ipoh sekali lagi menganjurkan sebuah program amal bagi meraikan anak-anak yatim dan miskin serta menyumbangkan sumbangan hari raya aidil fitri berupa wang tunai kepada pusat kebajikan ini serta menyerahkan duit raya kepada hampir 30 orang anak-anak yatim dan miskin yang menetap di rumah kebajikan ini.

Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Raya ini dijangka akan berlangsung di Symphony Suite Hotel, Ipoh Perak, pada 12hb Mei 2019 jam 6.00 petang.


Lokasi Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Raya PUBI Perak 2019

PUBI Perak juga melalui JK Kebajikan dan Kerohanian telah menjalan misi untuk mengutip sumbangan dana bagi menjayakan Majlis ini sejak 20hb April 2019 yang lalu.

Alhamdulillah, hasil daripada usaha tersebut, dana mencecah RM10,000.00 telah berjaya dikumpulkan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuklah daripada ahli berdaftar PUBI Perak itu sendiri yang menjadi penyumbang yang terbesar sekali.


Penaja Utama Majlis Iftar PUBI Perak – Arsha Trendy

Majlis tahun ini juga sangat istimewa kerana mendapat tajaan khas sebanyak RM3,000 daripada Jenama Tudung Ekslusif iaitu Arsha Trendy yang dimiliki oleh Pn. Safiah Binti Hussin yang merupakan Ahli Berdaftar PUBI Perak.

Selain daripada itu, Majlis ini juga mendapat tajaan pengangkutan daripada Syarikat Inteam Symbol Trading (IST) yang akan menyediakan perhidmatan bas bagi membawa seramai hampir 30 orang anak-anak yatim dan miskin dari Pertubuhan Kebajikan Ar-Ridwani Manjoi, Ipoh Perak ke lokasi Majlis iaitu di Symphony Suite Hotel, ipoh Perak.


Penaja Pengangkutan – Syarikat Inteam Symbol Trading (IST)

Hasil daripada kutipan ini sebahagiannya akan diserahkan kepada Pihak Pengurusan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim & Miskin Ar-Ridwani Ipoh bagi menampung keperluan dan bantuan yang sangat perlu diambil tindakan segera iaitu;

1. Perbelanjaan pengurusan serta fasiliti Rumah Kebajikan.
2. Kos perbelanjaan tambahan penghuni yang mengikuti kelas agama serta kelas (tuisyen) tambahan setiap hari.
3. Perbelanjaan harian seperti makan dan minum serta duit belanja ke sekolah.

Untuk makluman semua, PUBI Perak juga menjemput Ibu-ibu tunggal dikalangan Ahli Berdaftar PUBI Perak serta anak-anak mereka untuk menyertai Majlis Iftar ini.

Disamping itu, PUBI Perak ada menjemput waris keluarga mangsa kebakaran di Puncak Jelapang yang telah mengorbankan 6 nyawa pada 11hb Disember 2018 yang lalu.


PUBI Perak selaku Persatuan Usahawan dan NGO Perak paling aktif di Bandaraya Ipoh juga merancang untuk mengadakan sebuah lagi program pada masa hadapan iaitu rombongan membawa anak-anak yatim dan miskin sambil belajar ke Zoo Taiping dan melawat Muzium Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak.

Ini salah satu usaha untuk meraikan dan menggembirakan anak-anak yatim dan miskin ini daripada tersisih dari masyarakat disamping mengeratkan hubungan silaturahim sesama islam.

Semoga dengan usaha ini akan dapat meringankan beban pihak pengurusan Pertubuhan Baitul Aini ini disamping meraikan serta memgembirakan anak-anak yatim dan miskin ini.

Insyallah..


Photo Persiapan Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Raya PUBI Perak 2019