ANAK-ANAK YATIM DAN FAKIR MISKIN DARI PERTUBUHAN BAITUL AINI, KAMPUNG MERAWAN INDAH, SIMPANG PULAI DIRAIKAN DALAM SUASANA BAHAGIA DAN MERIAH DI HOTEL KINTA RIVERFRONT IPOH PERAK.
Alhamdulillah, semalam telah berlangsung Majlis Iftar bersama anak-anak yatim dan fakir miskin dari Pertubuhan Baitul Aini yang terletak di Kampung Merawan Indah, Simpang Pulai Perak. Syukur kepadaNya kerana majlis ini berjalan dengan lancar dan berlangsung seperti yang dirancang.
Sebelum itu, pada sebelah petang, PUBI Perak yang diketuai oleh Pengerusinya iaitu En. Sharul telah berkonvoi beramai-ramai ke Rumah Anak-anak Yatim dan Fakir Miskin ini yang terletak di Kampung Merawan Indah untuk menyerahkan sumbangan berbentuk beras, tepung, bihun, minyak masak serta barang-barang keperluan yang lain kepada pihak Pengurusan Rumah kebajikan ini yang diselia oleh Ustaz Luthfil Amir Bin Razlan.
Turut menyambut ketibaan wakil dari PUBI Perak di Rumah Anak-anak Yatim dan Fakir Miskin ini adalah pengasas Pertubuhan Baitul Aini iaitu Hajah Noraini Binti Abdullah. Pengerusi PUBI Perak juga sempat meninjau kebocoran atap di sekitar rumah kebajikan ini dan merancang untuk membaiki kebocoran tersebut di dalam masa terdekat ini.
Selepas sesi serahan barang-barang keperluan selesai dilaksanakan, wakil dari PUBI Perak yang terdiri daripada AJK dan Ahli Berdaftar kemudiannya membawa semua anak-anak yang diraikan ini ke Hotel Kinta Riverfront menggunakan kenderaan masing-masing untuk Majlis Iftar di sana.
Di Hotel Kinta Riverfront anak-anak istimewa ini telah disambut oleh AJK PUBI Perak yang telah siap sedia menunggung serta wakil dari Pihak OUM-Perak dan majlis diteruskan dengan Ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis iaitu Cik Ina selaku Bendahari Agung PUBI Perak. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan dari Pengerusi PUBI Perak dan diikuti oleh ucapan dari Pengarah Open University Malaysia iaitu Pn. Zuraida dan Timbaan Pengerusi PUBI Perak iaitu En. Nor Adzman Nali. Setelah selesai ucapan maka waktu berbuka puasa pun tiba maka dibacakan pula doa berbuka puasa dan doa makan oleh Ustaz Luthfil.
Majlis kemudiannya berhenti seketika untuk solat magrib berjemaah dan bersambung semula untuk sesi penyerahan duit raya dan sumbangan wang tunai kepada pihak pengurusan Pertubuhan Baitul Aini yang diwakili oleh penyelianya iaitu Ustaz Luthfil Amir Bin Razlan. Sebelum bersurai semua anak-anak yatim dan fakir miskin Pertubuhan Baitul Aini ini telah bergambar beramai-ramai dengan seluruh AJK PUBI Perak, ahli berdaftar serta wakil dari OUM-Perak.
Syukur kepadanya, majlis yang dirancang ini berjalan dengan jayanya serta mencapai objektif. Dari riak wajah anak-anak yatim dan fakir miskin ini jelas terpancar keriangan yang tidak terhingga dan ternyata mereka sungguh gembira sekali. Tahniah kepada JK Kebajikan & Kerohanian PUBI Perak yang diketuai oleh Pn Nurussaadah yang berusaha serta bekerja keras untuk menjayakan majlis ini di bawah program kebajikan Tunas Harapan PUBI Perak.
Insyallah, majlis sebegini akan menjadi majlis tahunan PUBI Perak pada setiap bulan Ramadhan yang mulia ini dan barisan AJK yang ada sangat komited untuk melaksanakan pada skala yang lebih besar pada suatu hari nanti. Doakan PUBI Perak terus maju di dalam memperjuangkan nasib usahawan serta peniaga di Negeri Perak ini disamping berbakti kepada masyarakat secara umumnya.
Majlis kemudiannya bersurai dan anak-anak yatim & fakir miskin Pertubuhan Baitul Aini ini telah selamat dihantar pulang oleh AJK dan Ahli berdaftar PUBI Perak ke rumah mereka. Syukur..
Lihat galeri gambar Majlis Iftar bersama anak-anak yatim dan fakir miskin dari Pertubuhan Baitul Aini anjuran PUBI Perak →Dalam pada itu PUBI Perak juga telah membuka permohonan untuk Program Kebajikan Tunas Harapan di mana sesiapa yang memerlukan bantuan boleh memohon dan dengan izinNya PUBI Perak akan sedara upaya akan berusaha untuk membantu anda.
Kepada mereka yang ingin memohon bantuan ini anda bolehlah mengisi borang permohonan online melalui link di bawah ini;
Sila Klik Untuk Memohon
KOMEN TERKINI