INFO: i-CITRA KWSP – SEMAK SYARAT PENGELUARAN RM5,000 KWSP

Menerusi pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpeluang untuk mengeluarkan maksimum RM5,000 dari akaun mereka menerusi kemudahan i-Citra KWSP.

Perdana Menteri memaklumkan, seramai 12.6 juta ahli KWSP di seluruh negara berpeluang mendapatkan kemudahan i-Citra dan jumlah pengeluaran tersebut tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

Tujuan pengeluaran i-Citra diperkenalkan adalah untuk memberi kemudahan kewangan tambahan kepada ahli yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup mereka.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: BKC PEMULIH – JUMLAH BAYARAN & JADUAL PEMBAYARAN

Kemudahan i-Citra ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM30 bilion dan memanfaatkan seramai 12.6 juta ahli.

TARIKH PERMOHONAN

Permohonan bagi kemudahan i-Citra boleh dibuat mulai 15 Julai 2021 sehingga 30 September 2021.

SYARAT KELAYAKAN i-CITRA

Pencarum KWSP yang layak untuk memohon kemudahan i-Citra perlu memenuhi syarat kelayakan iaitu:

  1. Ahli KWSP yang berumur 55 tahun ke bawah, termasuk bukan warganegara dan pemastautin tetap.
  2. Ahli mestilah mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam Akaun KWSP pada tarikh permohonan.

AMAUN LAYAK DIKELUARKAN

Amaun kelayakan pengeluaran bagi kemudakan i-Citra adalah sehingga maksimum RM5,000 dan bayaran bulanan akan dibuat sehingga 5 bulan.

Ini bermakna, jumlah maksimum pengeluaran yang ditetapkan adalah RM1,000 sebulan atau tertakluk kepada jumlah baki simpanan.

Pengeluaran minimum pula adalah RM50 dan pencarum perlu meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1.

Amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses setelah ditolak bayaran i-Sinar yang akan datang (jika ada).

CARA MEMOHON

Untuk pencarum yang berminat untuk memohon kemudahan i-Citra, permohonan hanya secara dalam talian melalui portal icitra.kwsp.gov.my.

Walau bagaimanapun, portal ini hanya boleh diakses bermula 15 Julai 2021.

Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah untuk memohon akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

PROSES PEMBAYARAN

Proses pembayaran kepada pencarum yang layak akan dibuat bermula bulan Ogos 2021.

SOALAN LAZIM i-CITRA KWSP

Mengapakah Pengeluaran kemudahan i-Citra diperkenalkan?

  • Pengeluaran kemudahan i-Citra diperkenalkan untuk memberi kemudahan kewangan tambahan kepada ahli yang terkesan akibat PKP bagi memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup mereka.

Bolehkah ahli yang merupakan anggota perkhidmatan awam dan berada dalam skim perkhidmatan berpencen memohon i-Citra?

  • Boleh. Anggota perkhidmatan awam boleh memohon i-Citra. Namun, mereka berkemungkinan akan berdepan dengan risiko menggunakan syer kerajaan yang perlu dikembalikan kepada kerajaan kelak.

Mengapakah amaun maksimum i-Citra dihadkan kepada RM5,000 sahaja?

  • Amaun atau jumlah maksimum RM5,000 bertujuan membantu ahli untuk menampung kelangsungan hidup dengan mengimbangi keperluan simpanan persaraan.

Mengapakah ahli perlu mengekalkan simpanan minimum di dalam Akaun 1 sebanyak RM100?

  • Simpanan minimum RM100 perlu dikekalkan dalam Akaun 1 agar dapat mengekalkan status sebagai ahli KWSP serta layak untuk mendapat manfaat Bantuan Kematian & Bantuan Hilang Upaya.

Bolehkah ahli memohon i-Citra sekiranya telah memohon i-Lestari dan i-Sinar?

  • Boleh namun tertakluk kepada syarat kelayakan.

Bolehkah simpanan dalam Akaun Emas digunakan untuk Pengeluaran i-Citra?

  • Tidak. Simpanan Akaun Emas tidak boleh digunakan untuk i-Citra.

PERTANYAAN LANJUT

Untuk pertanyaan lanjut mengenai kemudahan i-Citra, sila hubungi Hotline i-Citra di talian 03-8922 4848 atau melayari laman web KWSP di pautan www.kwsp.gov.my.

Nota: Bagi anda yang ingin dapatkan pelbagai maklumat terkini terutama berkaitan bantuan kerajaan dan info-info berguna, sila ikuti group telegram kami di https://t.me/joinchat/VkYkA8svZj3WB3hD