SETIAP MANUSIA PASTI AKAN DITIMPA UJIAN DIDALAM MENGHARUNGI BAHTERA KEHIDUPANNYA.

Sesuai dengan firman allah swt “Kami akan menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai fitnah (ujian).” – Al Anbiya: Ayat 21.

Sama ada ujian itu didalam bentuk kesenangan mahupun dalam bentuk kesusahan, ujian ini adalah sebagai kayu ukur amal ketaqwaan seseorang itu disisi Allah SWT.

Hal ini juga berlaku didalam susur kehidupan seorang Usahawan, tidak dapat tidak lari dari ketentuan Allah ini.

Adakalanya perniagaan kita diberi keuntungan besar, ianya ujian dari Allah untuk melihat sejauh mana nikmat yang dikurniakan olehNya itu diguna sebaik mungkin untuk amal di jalan yang diredhoi Allah.

Dan ada ketikanya, perniagaan kita dilanda kerugian, kurang sambutan atau berlaku kemusnahan.

Disisi ini juga Allah menurun kan ujian Nya, untuk melihat sejauh mana kesabaran dan ketenangan kita didalam mengharungi suasana muram ini.

Firman Allah didalam surah Al Asr : “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu didalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan juga mereka berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Apabila perniagaan kita diberi ujian kesenangan, hindarilah sifat-sifat ujub, riak dan takabbur. Kerana sikap ini akan mengundang murka dan kebencian Allah. Allah juga menyamakan sikap ini seperti sikap Iblis yang takabur disisi Allah.

Jika kita sentiasa berasa nikmat yang diperoleh ini, digunakan untuk mendapat dunia sahaja (kebanggaan, kemewahan) lama- kelamaan, Allah akan menghitamkan dan mematikan hati kita, nauzubillahi min zalik.

Sentiasalah mensyukuri nikmat yang Allah berikan ini dengan tunduk melihat kebawah, banyakkan bersedekah, mengeluarkan zakat dan meningkatkan amal ketaqwaan.

Imam Ibn Hazam berpesan “Jika segala nikmat yang diberikan Allah tidak digunakan untuk ketaqwaan di jalan Allah, maka nikmat itu akan menjadi musibah kepadanya suatu hari kelak.”

Dan apabila perniagaan kita diuji dengan kerugian, kemusnahan dan sebagainya, ianya adalah sebagai tanda perancangan Allah yang terbaik untuk kita.

Ketika inilah kita perlu banyak muhasabah kembali dan ianya masa yang sesuai untuk melihat lompong-lompong usaha yang boleh diperbaiki selain daripada amal dan taqwa kepada Allah.

Perbanyakkan berdoa kepada Allah, dan perbanyakkan taubat. Allah suka pada hambanya yang banyak bertaubat. Kerana selagi pintunya masih terbuka, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ambillah kisah tauladan dari para Sahabat, iaitu Abdul Rahman Bin Auf R.A, salah seorang yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW dan Allah SWT.

Ketika Abdul Rahman Bin Auf R.A, meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah bersama-sama Rasulullah ke Madinah, beliau telah di uji dengan terpaksa meninggalkan segala harta dan kekayaannya sebelum itu di Mekah untuk menegakkan syiar Islam bersama-sama Rasulullah.

Beliau hijrah ke Madinah dengan tanpa harta, wang dan sehelai sepinggang. Akan tetapi, beliau telah membangunkan semula empayar perniagaannya di Madinah dengan majunya dan pantas sehingga mengalahkan perniagaan orang-orang yahudi ketika itu yang menguasai perdangangan di Madinah.

Inilah bukti bahawa kebangkitan selepas ujian, adalah suatu perkara yang amat bermakna yang kejayaan itu adalah lebih manis dari sebelumnya.

Akhir sekali, perlu dingatkan kepada semua Usahawan-Usahawan diluar sana, bahawa apa yang dikurniakan Allah kepada kita ini (perniagaan, perusahaan atau empayar) adalah datang bersamanya tanggungjawab dan amanah.

Seperti firman Allah “Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.” Surah Al Imran:109

Jalankan lah kewajipan sebagai Usahawan Muslim yang sentiasa beriman kepada Allah dan RasulNya, InshaAllah

Cahaya Kejayaan Itu Pasti Hadir.. Aminnn.

Ditulis Oleh : Arjuna Beta