MARILAH KITA BERTAKBIR DAN BERSELAWAT KE ATAS JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD S.A.W
Sesungguhnya, pemimpin agung kita iaitu Nabi Muhammad SAW telah diputerakan pada tahun 570 Masihi di Kota Makkah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal iaitu bulan ketiga dalam taqwim Islam.
Kelahiran Nabi Muhammad SAW ini merupakan satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam. Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan seluruh ajaran dan syariat Islam dengan membimbing dan memimpin seluruh umat manusia seperti firman Allah SWT di dalam surah Al- Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud :
“Dan tidaklah kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam”.
Kelahiran Nabi Muhammad SAW di tengah-tengah kejahilan masyarakat Arab pada ketika itu juga telah membawa satu transformasi yang terunggul di dalam lembaran sejarah dunia peradaban Islam.
Risalah baginda berpaksikan wahyu Ilahi bertujuan untuk melahirkan umat Islam yang mengesakan Allah SWT tidak ternoktah di Semenanjung Tanah Arab sahaja, tetapi meliputi seluruh benua, bangsa dan keturunan di dunia ini.
Justeru, marilah kita mencontohi akhlak, sifat dan kepimpinan beliau dalam pelbagai aspek kehidupan. Kita selaku umat Nabi Muhammad SAW wajar untuk sentiasa mengenang perjuangan Baginda dalam menyebarkan dakwah Islam.
Hasil perjuangan dakwah Baginda Rasulullah SAW dan pengorbanan para sahabat Baginda, maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan islam pada hari ini.
Hakikatnya, umat Islam pada hari ini mesti berpegang teguh dengan seluruh seruan dan akhlak Rasulullah SAW untuk menyelamatkan dunia yang sedang dihimpit oleh pelbagai kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia yang jauh dari hidayah Allah SWT.
Insyallah..
KOMEN TERKINI