TERKINI – PETRONAS SUMBANG PERALATAN DAN BEKALAN PERUBATAN BERNILAI RM20 JUTA
KUALA LUMPUR, 23 Mac — Yayasan Petronas, cabang tanggungjawab sosial korporat Petronas, menyumbang peralatan dan bekalan perubatan bernilai RM20 juta untuk membantu petugas barisan hadapan hospital dan penjaga kesihatan untuk mengurangkan penyebaran penularan COVID-19 di Malaysia.
Yayasan Petronas berkata sumbangan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“KKM dan NADMA akan menghantar peralatan dan bekalan perubatan kritikal, termasuk ventilator, katil hospital dan tilam, kamera pengimbas suhu, termometer digital, peralatan ujian virus, topeng dan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) kepada hospital yang diwartakan untuk COVID-19 dan pusat kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia berkata cecair pembasmi kuman juga akan disediakan untuk rumah terpilih untuk warga emas.
Ketua Pegawai Eksekutif Lita Osman berkata pekerja kesihatan dan anggota penguatkuasa telah berusaha keras untuk menghentikan penyebaran COVID-19.
“Mereka memerlukan bantuan kerana ketika ini lebih daripada seribu pesakit sedang menjalani rawatan, dan Yayasan Petronas sedang bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk memberi sokongan ketika masyarakat memerlukannya.
“Usaha kami juga mencerminkan komitmen Petronas ke arah meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
— BERNAMA
KOMEN TERKINI