
PUBI PERAK SELAKU PERSATUAN USAHAWAN DAN NGO PERAK YANG AKTIF DI BANDARAYA IPOH MENERUSKAN USAHA-USAHA MURNI UNTUK MEMBANGUNKAN USAHAWAN SERTA MEMBANTU USAHAWAN.
Antara usaha yang dijalankan oleh PUBI Perak adalah dengan menganjurkan kelas dan bengkel latihan keusahawanan, kursus usahawan dan taklimat yang berimpak tinggi serta memberi manfaat yang sangat berguna kepada usahawan dan bakal usahawan.
Terkini pada 10hb Oktober 2023 yang lalu, Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI) telah dijemput untuk menyertai Konvensyen Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar 2023 anjuran Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bahagian Kesejahteraan Bandar yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Baharu.
Oleh yang demikian seramai 16 orang peserta Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar bagi tahun 2021, 2022 & 2023 di bawah seliaan PUBI telah terpilih untuk menghadiri ke konvensyen ini mengikut kategori kelayakan yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian.
AKTIVITI PERSATUAN SEBELUM INI: Kursus i-Prodigy @APBMBG 2023 (TikTok Class)
Kategori pemilihan adalah berdasarkan pendapatan yang dapat dijanakan sepanjang program PEKB ini berlangsung iaitu sebanyak minima RM600 sebulan selama 3 bulan di dalam tempoh pemantauan yang telah ditetapkan.
Bagi menjayakan konvensyen ini delegarasi PUBI Perak yang diketuai oleh En Sharul Rahman selaku Pengerusi PUBI Perak telah berkumpul seawal jam 8.30 pagi di perkarangan parkir Lotus’s Ipoh Station 18 untuk bertolak menaiki sebuah Bas Persiaran yang disediakan untuk membawa seramai 16 peserta ke lokasi konsyensyen tersebut.
Perjalanan ke Johor Baharu telah mengambil masa hampir 8 jam dan Alhamdulillah para peserta konvensyen telah selamat sampai ke Hotel penginapan kira-kira jam 5 petang pada hari yang sama.
Sejurus itu En. Sharul Rahman yang dibantu oleh En Haizul Fakarudin selaku Setiausaha Persatuan, Saudara Mohamad Nafis selaku Bendahari Persatuan dan En Khairul Akmal selaku Ahli Jawatankuasa Persatuan telah tiba di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Baharu untuk membuat membuat persiapan bagi menyediakan booth pameran anjuran Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak.
Alhamdulillah, persiapan booth telah berjalan lancar dan PUBI Perak telah diberi tanggungjawab oleh pihak Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bahagian Kesejahteraan Bandar untuk membuat pameran kursus pembaikan telefon bimbit pada konvensyen yang dijangka berlangsung pada keesokan harinya.
Konvensyen PEKB diadakan bertujuan untuk memberi motivasi lanjutan kepada peserta Program PEKB untuk membangunkan kapasiti dan keupayaan dalam semua aspek perniagaan.
Melalui penganjuran Konvensyen ini, KPKT mengambil pendekatan baharu dengan menerapkan model elemen inisiatif sokongan kepada peserta komuniti usahawan sebagai nilai tambah khususnya dari sudut pemasaran produk dan promosi seiring dengan pasaran terbuka secara atas talian.

Dijangka seramai 500 orang usahawan program PEKB bagi tahun 2021, 2022 dan 2023 serta 25 reruai (booth) usahawan PEKB, Agensi Kerajaan dan NGO terlibat dalam konvensyen ini.
Ia mempamerkan pelbagai jenis perkhidmatan dan produk usahawan PEKB serta maklumat berkaitan bantuan pembiayaan perniagaan.
Selain itu, bimbingan turut diberikan kepada usahawan PEKB bagi pengembangan perniagaan untuk meningkatkan taraf usahawan sara diri dan usahawan informal kepada sekurang-kurangnya bertaraf Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Justeru, ia merupakan platform perkongsian maklumat daripada Agensi Kerajaan, NGO dan usahawan Program PEKB yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
PUBI Perak sebagai sebuah Persatuan Usahawan dan NGO Perak yang prihatin akan sentiasa menyokong usaha-usaha murni yang telah dilakukan bagi membangunkan usahawan dan bakal usahawan di Bandaraya Ipoh ini secara khususnya dan di seluruh negeri Perak secara amnya.
Semoga usahawan di Negeri Perak terus mampan dan berdaya saing seterusnya Berjaya pada masa hadapan dan semoga PUBI Perak terus maju sebagai sebuah Persatuan Usahawan yang prihatin, berinovatif serta menjadi NGO Perak yang disegani pada masa akan datang.
Insyallah..
KOMEN TERKINI