K Kalaichelvan, 44 dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang | Gambar – Harian Metro

TERKINI – PEMANDU MABUK TIDAK MENGAKU SEBABKAN KEMATIAN KOPERAL SAFWAN

SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang, hari ini atas tiga pertuduhan sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis, 3 Mei lalu.

Tertuduh, K Kalaichelvan, 44, membuat pengakuan itu selepas faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu sebagai pemandu kenderaan NCT6563 memandu dibawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis yang menjalankan sekatan jalan raya Safwan Mohamad Ismail, 31.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Seorang Lagi Anggota Polis Maut Dilanggar Pemandu Mabuk, Netizen Mahu Hukuman Lebih Berat

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 44(1) (B) akta pengangkutan jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh penjara tidak lebih tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dituduh kerana tidak mematuhi isyarat yang munasabah yang diberikan seorang pegawai polis yang dikehendaki orang atau kenderaan berhenti sebelum sampai sekatan jalan raya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 (Akta 334) yang membolehkan hukuman penjara tidak lebih 12 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau keduanya jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan terakhir, lelaki itu dituduh memandu dengan tidak memiliki lesen memandu yang membenarkan untuk memandu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333/87) dihukum dibawah seksyen 26(2) akta sama.

Pertuduhan itu membolehkan tertuduh didenda tidak kurang RM300 atau tidak lebih RM2,000 atau dipenjara tidak lebih tiga bulan atau keduanya jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh pada jam 2.10 pagi di Lebuh Raya Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), 3 Mei lalu.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Gambar Terakhir Koperal Safwan Buat Keluarga

TERTUDUH DIIKAT JAMIN SEBANYAK RM20,000

Timbalan Pendakwa Raya Norhana Saat memohon mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 serta syarat tambahan untuk tertuduh melapor diri di balai polis.

Peguam bela, Haijan Omar dan Ravin Jay yang mewakili tertuduh dikenakan jaminan yang lebih rendah kerana menjadi penanggung tunggal keluarga selain akan memberikan komitmen untuk hadir perbicaraan.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain melapor diri di balai polis berhampiran lima hari bulan setiap bulan sebagai syarat tambahan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Koperal Safwan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan selepas dihempap Toyota Hilux.

Mangsa bersama rakan setugas membuat sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sumber: Harian Metro