PEMANDU MABUK: MOT, JPJ AKAN TELITI PINDAAN AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987

KUALA LUMPUR: Satu sesi taklimat di Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan pada 1 Jun ini bagi meneliti dan menyemak semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam catatan Facebook rasmi beliau memaklumkan pindaan akta itu khususnya adalah berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

“Pindaan akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambil kira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan sebelum ia dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya menerusi catatan itu.

BACA ATRIKEL SEBELUM INI: Isteri Harap Suspek Mabuk Terlibat Kemalangan Maut Terima Hukuman Setimpal

Beliau turut berkongsi pautan untuk orang ramai menjawab soal selidik yang dijalankan MOT melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat di .

Dr Wee juga menyatakan rasa sedihnya dengan berita mengenai kemalangan khususnya yang membabitkan pemandu mabuk.

Sebagaimana kenyataannya pada 4 Mei lalu, beliau komited dan akan bertindak demi mendapatkan pembelaan kepada mangsa korban kemalangan maut serta menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa.

— BERNAMA