Pasangan yang bernikah di Pejabat Agama Daerah Kota Setar ketika tempoh PKP dan PKPB. Gambar fail

NORMAL BAHARU: TIDAK PERLU KURSUS PRAPERKAHWINAN, HANYA TEMU DUGA RINGKAS DI KEDAH

ALOR SETAR: Pasangan pengantin yang bakal mendirikan rumah tangga di Kedah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak perlu lagi mengikuti kursus praperkahwinan sebaliknya hanya dikehendaki menghadiri temu duga ringkas.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata temu duga ringkas selama kira-kira 15 minit itu dijalankan oleh pegawai pejabat agama daerah dan pasangan tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Kelonggaran yang diberikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) itu mampu menjadi alternatif terbaik menyelesaikan masalah pasangan yang mahu berkahwin disebabkan kursus praperkahwinan tidak dapat diadakan buat masa ini.

KISAH KELUARGA: Adik Hilang Sejak 13hb Mac Akhirnya Ditemui Telah Meninggal Di Lebuhraya

“Sesi ini akan berlangsung pada hari akad nikah di pejabat agama daerah. Jadi maksudnya, mereka boleh bernikah walaupun tiada sijil (kursus praperkahwinan),” katanya di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Sanusi menjelaskan kerajaan Kedah kini sedang mengatur pertemuan bersama Kementerian Pengangkutan bagi menambah perjalanan dua hala feri dari Kuala Kedah ke Langkawi.

Ianya berikutan ketika ini hanya dua perjalanan feri setiap hari iaitu pada jam 11 pagi dan 4 petang, yang agak menyukarkan penumpang selain menjejaskan kedudukan kewangan pengusaha feri.

Mac lalu, perkhidmatan feri antara Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Perlis-Langkawi telah dikurangkan kepada dua perjalanan sehari berbanding 10 sebelum ini, selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber: Astro Awani