
KOPERASI USAHAWAN BERSATU IPOH PERAK BHD MENERUSKAN MISI UNTUK MENJADI SEBUAH KOPERASI YANG BERDAYA SAING SERTA MAMPU MENINGKATKAN JANA PEMBANGUNAN EKONOMI DI NEGERI PERAK.
Pada 21 Jun 2025 (Sabtu) yang lalu, Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak Berhad (KOPUBI) telah berjaya melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-7 dengan penuh tertib dan jayanya bertempat di Dewan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Kinta, Kampung Pengkalan Pegoh, Lahat, Perak.
Mesyuarat yang diadakan secara hibrid ini melibatkan kehadiran hampir 30 orang anggota secara bersemuka di lokasi, manakala seramai hampir 110 orang lagi menyertai secara dalam talian melalui platform Google Meet.
Majlis dimulakan sekitar jam 10.30 pagi dengan sesi pendaftaran kehadiran dan semakan pengesahan saham anggota. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan pembukaan oleh Saudara Aiman bin Mohd Ghazali selalu Pengerusi Majlis dan disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku, Negeri Perak serta bacaan doa.
AKTIVITI KOPERASI SEBELUM INI : Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Mat Kopubi Perak Bhd Kali Ke-7
Suasana bertambah bersemangat apabila Timbalan Pengerusi KOPUBI, Tuan Safuan bin Othman menyampaikan ucapan alu-aluan kepada semua anggota yang hadir, memberikan penghargaan atas komitmen mereka terhadap pembangunan koperasi.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan rasmi dan perasmian oleh Pengerusi KOPUBI Perak Berhad, Yang Dihormati Tuan Sharul Baha bin Abd Rahman yang kemudiannya mempengerusikan Mesyuarat Agung tersebut.
Sekitar jam 11.30 pagi, Mesyuarat Agung Tahunan KOPUBI Perak Bhd Kali Ke-7 dimulakan secara rasmi dengan penyampaian laporan tahunan, pembentangan penyata kewangan, perbincangan usul-usul dari anggota serta perbentangan cadangan Aturan Koperasi.
Pelbagai perkara penting telah dibincangkan, termasuk persiapan hala tuju koperasi ke arah lebih mampan dan berdaya saing untuk tahun akan datang.
Turut dilaksanakan dalam mesyuarat ini ialah sesi pemilihan Ahli Lembaga baharu yang dikendalikan dengan lancar oleh Encik Haizul Fakarudin bin Mohamed Redzuan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tahun 2025.
Tiga orang anggota lembaga telah gugur dan mereka menang tanpa bertanding iaitu Mohamad Firdaus bin Mansor, Mohammad Nafis bin Zamah Sari dan Aini Suryana binti Zaini.
Selain itu, sesi turut menyaksikan pelantikan enam anggota sebagai Penentusah Minit iaitu Aiman bin Mohd Razali, Aida Suzana binti Ismail Zabri, Salwa binti Taib, Syahlehuddin bin Shuhaimi, Mohamad Hamdan bin Md Ariffin dan Abdul Karim bin Hamzah.
Turut dilantik tiga Juruaudit Dalaman koperasi iaitu Jamaliah binti Md Yatim, Nor Azlina binti Omar dan Safirah Nurafiqah binti Safaruddin.

Meyuarat Agung Tahunan KOPUBI Perak Bhd kali ini turut diserikan dengan kehadiran penuh komited barisan kepimpinan KOPUBI termasuk Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari, Penolong Setiausaha, serta Ahli Lembaga Koperasi dan seluruh anggota koperasi yang hadir secara bersemuka dan dalam talian.
Sebagai penutup majlis, satu sesi cabutan bertuah telah diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para anggota yang hadir. Sesi ini berlangsung dalam suasana penuh kegembiraan dan kemesraan yang mencerminkan semangat kekeluargaan dalam gerakan koperasi.
Mesyuarat Agung Tahunan KOPUBI Perak Bhd Kali Ke-7 ini sekali lagi membuktikan keutuhan struktur koperasi dan komitmen padu semua pihak dalam memacu KOPUBI ke arah masa depan yang lebih progresif dan berimpak tinggi.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua anggota yang terus menyokong perjuangan KOPUBI, serta kepada barisan kepimpinan yang gigih memastikan perjalanan koperasi sentiasa kukuh dan bersedia menempuh cabaran ekonomi semasa.
Mesyuarat ini bukan sekadar menyelesaikan urusan tahunan, tetapi juga menjadi ruang mempererat ukhwah sesama anggota serta memperkukuh hala tuju strategik KOPUBI Perak Berhad dalam mendepani cabaran koperasi masa kini.
Dengan semangat kerjasama dan kepercayaan yang tinggi dalam kalangan anggota serta barisan kepimpinan yang komited, KOPUBI yakin dapat terus bergerak sebagai sebuah koperasi yang dinamik, progresif dan relevan kepada kehendak semasa.
Semoga segala resolusi dan keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-7 ini menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih gemilang buat KOPUBI Perak Bhd.
Dengan izin Allah SWT dan sokongan padu seluruh anggota, KOPUBI akan terus mara sebagai sebuah koperasi yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat negeri, malah mampu mencipta impak ekonomi yang bermakna buat semua anggota dan masyarakat secara keseluruhannya.
In shaa Allah.
#KOPUBI #KoperasiUsahawan #MesyuaratAgungTahunan #MAT2025 #MencaknaEkonomiBangsa #GerakanKoperasi #Malaysia



KOMEN TERKINI