TERKINI: TIGA BERANAK MAUT DALAM KEMALANGAN DI SAUK
TIGA beranak maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, malam tadi.
Dalam kejadian pada 10.30 malam, mangsa, Nurul Huda Arifin, 31, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta Toyota Vios maut di tempat kejadian.
Sementara, pemandu kereta berkenaan, Abdul Hakim Hashim, 32, serta kanak-kanak yang berada di tempat duduk belakang, Adib Aidan Abdul Hakim, 2, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
KEMALANGAN: Dijemput Ajal Selepas 5 Hari Bertarung Nyawa
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila Toyota Vios dinaiki tiga beranak itu yang dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar menghala Gerik bertembung sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan.
“Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 33 tahun secara tiba-tiba memasuki laluan mangsa dipercayai kerana hilang kawalan menyebabkan berlaku pertembungan.
“Rempuhan menyebabkan Toyota Vios berkenaan berpusing sebelum memasuki parit (longkang) yang terdapat di bahu kiri jalan dan mengakibatkan kesemua empat penumpang kenderaan itu tersepit.
“Nurul Huda meninggal dunia di tempat kejadian, sementara mangsa selebihnya termasuk pemandu Toyota Hilux dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Razali berkata, bagaimanapun Abdul Hakim disahkan meninggal dunia di hospital pada 12.15 tengah malam semasa dirawat, manakala Adib Aidan meninggal dunia lima minit kemudian, iaitu jam 12.20 tengah malam.
“Seorang lagi kanak-kanak yang berada dalam Toyota Vios berkenaan berusia empat tahun hanya cedera ringan, manakala pemandu Toyota Hilux hanya mengalami luka pada bahagian lutut kanan.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan ke atas pemandu Toyota Hilux terbabit bagi melalui ujian air kencing serta pengambilan sampel darah untuk ujian toksikologi.
Katanya, mayat tiga beranak itu akan menjalani bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar jam 10.00 pagi ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, panggilan kecemasan diterima jam 10.27 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dibantu BBP Lenggong dikejarkan ke lokasi.
Katanya, pemandu (Abdul Hakim) dan penumpang hadapan (Nurul Huda) kereta Toyota Vios adalah suami isteri.
Sumber: Harian Metro
KOMEN TERKINI