Nurul Huda meninggal dunia di tempat kejadian selepas Toyota Vios dinaikinya bertembung pacuan empat roda di Kilometer 72, Jalan Ipoh-Gerik berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, semalam | Gambar Harian Metro

SUSULAN KEMALANGAN: ARWAH NURUL HUDA HAMIL LIMA BULAN

“HARI raya tahun ini arwah kelihatan begitu beriya-iya mahu bergambar sekeluarga bersama dalam sesi khas, namun tidak sangka ia petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Mohd Helmi Arifin, 45, abang kepada mangsa kemalangan maut, Nurul Huda, 31.

Nurul Huda meninggal dunia di tempat kejadian selepas Toyota Vios dinaikinya bertembung pacuan empat roda di Kilometer 72, Jalan Ipoh-Gerik berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, semalam.

Turut maut dalam kemalangan itu adalah suami Nurul Huda, Abdul Hakim Hashim, 32, dan anak bongsu mereka, Adib Aidan, 2, yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK).

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: TIGA BERANAK MAUT DALAM KEMALANGAN DI SAUK

Mohd Helmi berkata, dia rasa ralat kerana arwah adik bongsunya itu mengandung lima bulan, selain abang sulung mereka sebelum ini juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika kecil.

“Mahu atau tidak terpaksa reda walaupun ralat. Perut (arwah) pun dah nampak biarpun jantina kandungannya kami masih belum tahu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKK, hari ini.

Sementara itu, adik kepada Abdul Hakim, Nazirah Hashim, 28, ketika ditemui berkata, arwah abangnya yang juga anak sulung daripada 10 beradik disifatkan amat bertanggungjawab selain dianggap idola dalam kalangan adik-beradiknya yang lain.

Menurutnya, dia turut terkilan kerana mengetahui arwah kakak iparnya sedang mengandungkan anak perempuan kerana mereka begitu menginginkan anak perempuan.

Katanya, sejak kebelakangan ini arwah abangnya selalu mengatakan bahawa akan kerap ‘pulang’ ke kampung mereka di Gerik khususnya selepas hampir tiga bulan dia dan keluarganya terkandas di kampung mentuanya di Trolak, Perak.

“Kali terakhir saya bertemu arwah abang adalah kira-kira lima hari selepas hari lebaran. Sehari sebelum raya, arwah memang ada balik hari ke Gerik dari Trolak selepas perjalanan rentas daerah dibenarkan susulan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

“Arwah sekeluarga kembali semula ke Gerik pada raya ketiga sebelum pulang ke Manjung dua hari kemudian. Emak mengakui perasan dengan perubahan abang khususnya apabila arwah sering bertanya jika ingin mengirim barang dari Manjung untuk dibawa pulang ke Gerik.

“Dia memang idola kami 10 beradik kerana sikapnya yang tegas selain menjadi tulang-belakang keluarga khususnya dalam membantu menampung perbelanjaan empat adik-beradik kami yang masih belajar,” katanya.

Jenazah tiga beranak itu disembahyangkan di perkarangan Unit Forensik HKK sebelum dihantar pulang ke kampung Allahyarham Abdul Hakim di Kampung Air Panas, Gerik untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, saringan ujian air kencing terhadap pemandu Toyota Hilux didapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, suspek berusia 33 tahun direman selama empat hari bermula hari ini selain semakan mendapat dia turut mempunyai 27 saman lampau selain empat saman yang belum dijelaskan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu laju.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Harian Metro