
𝗞𝗢𝗣𝗘𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔𝗪𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗧𝗨 𝗜𝗣𝗢𝗛 𝗣𝗘𝗥𝗔𝗞 𝗕𝗛𝗗 𝗠𝗘𝗡𝗘𝗥𝗨𝗦𝗞𝗔𝗡 𝗠𝗜𝗦𝗜 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗠𝗘𝗡𝗝𝗔𝗗𝗜 𝗦𝗘𝗕𝗨𝗔𝗛 𝗞𝗢𝗣𝗘𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗕𝗘𝗥𝗗𝗔𝗬𝗔 𝗦𝗔𝗜𝗡𝗚 𝗦𝗘𝗥𝗧𝗔 𝗠𝗔𝗠𝗣𝗨 𝗠𝗘𝗡𝗜𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧𝗞𝗔𝗡 𝗝𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗘𝗠𝗕𝗔𝗡𝗚𝗨𝗡𝗔𝗡 𝗘𝗞𝗢𝗡𝗢𝗠𝗜 𝗗𝗜 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗔𝗞.
Terkini, pada 26 Julai 2025 yang lalu, satu program Taklimat Pengurusan Harta Pusaka, Hibah dan Wasiat telah berjaya diadakan di Surau Taman Anda, Ipoh, Perak.
Program ini dianjurkan oleh AJK Surau, Taman Anda sebagai satu inisiatif komuniti untuk memberi kesedaran kepada kariah setempat berkenaan kepentingan merancang dan mengurus harta secara sistematik mengikut syariat Islam.
Taklimat telah disampaikan oleh En. Sharul Baha bin Abd Rahman, Pengerusi Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak Berhad (KOPUBI Perak Bhd), yang juga merupakan wakil rasmi daripada MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB).
AKTIVITI KOPERASI SEBELUM INI : Booth Pameran Perkhidmatan Myangkasa Amanah Bhd
Kehadiran peserta yang terdiri daripada Muslimin dan Muslimat kariah Surau, Taman Anda menunjukkan minat yang tinggi terhadap topik yang dibincangkan, khususnya dalam aspek pengurusan harta pusaka yang sering menjadi isu rumit dalam masyarakat.
Jemputan khas KOPUBI Perak Bhd ke program ini adalah hasil inisiatif A.F Ustaz Naseem, mantan tenaga pengajar SABK Al-Ummah, Chemor, yang bertindak sebagai penceramah jemputan dan pencetus kolaborasi strategik ini.
Beliau melihat peranan KOPUBI dan MAAB sebagai entiti penting dalam memberi bimbingan serta menyediakan solusi patuh syariah berkaitan pengurusan harta kepada masyarakat Islam.
Sepanjang taklimat, peserta didedahkan dengan manfaat hibah sebagai salah satu instrumen penting dalam perancangan harta, perbezaan antara wasiat dan faraid, serta kelebihan menggunakan platform MyANGKASA Amanah Berhad yang telah diiktiraf dan diyakini oleh koperasi-koperasi di seluruh negara.
Perbincangan juga menekankan pentingnya mengambil tindakan awal bagi mengelakkan konflik waris, kelewatan pengurusan pusaka, serta bebanan emosi dan kos yang mungkin timbul sekiranya perancangan harta diabaikan.
Penganjuran program ini adalah selaras dengan misi KOPUBI Perak Bhd untuk memperkasakan komuniti usahawan dan masyarakat melalui pendidikan, kebajikan, serta pemerkasaan ekonomi dan syariah.

Ia juga bertepatan dengan visi KOPUBI untuk menjadi entiti koperasi yang cemerlang dalam menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh dan menyentuh aspek kehidupan harian, termasuk urusan pengurusan harta Islam.
Sebagai rakan strategik MyANGKASA Amanah Berhad, KOPUBI Perak Bhd komited untuk terus membawa inisiatif seumpama ini ke seluruh kawasan kariah dan komuniti koperasi di negeri Perak.
Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap perancangan harta, malah mampu mengurangkan polemik dan konflik keluarga berkaitan pembahagian pusaka pada masa hadapan.
Program berakhir dengan sesi soal jawab yang interaktif, membuktikan bahawa masih ramai di kalangan masyarakat yang dahagakan ilmu berkaitan pengurusan harta Islam.
Rata-rata peserta menyatakan rasa puas hati dan berharap program seperti ini dapat diteruskan secara berkala di kawasan mereka. Pihak KOPUBI Perak Bhd merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.
Semoga usaha murni ini diberkati Allah SWT dan dapat membawa manfaat yang berkekalan kepada masyarakat seluruhnya.
Insyallah.
#KOPUBIPerakBhd #TaklimatMyANgkasaAmanah #PengurusanHartaPusaka #HibahWasiat #TeamMAAB #KOPUBI



KOMEN TERKINI