TAHNIAH! YANG BERHORMAT AHMAD FAIZAL BIN DATO’ AZUMU

PUBI Perak merakamkan ucapan setinggi-tinggi TAHNIAH kepada Yang Berhormat Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu  yang telah dilantik oleh DYMM Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Perak yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar sebentar tadi.

Yang Berhormat Ahmad Fazial Bin Dato’ Azumu adalah Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Perak dan juga Pengerusi Parti Peribumi Bersatu (PPBM) Negeri Perak, juga merupakan Ahli Parlimen Tambun serta Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Chendering.

Beliau telah diangkat oleh rakyat pada Pilihanraya Umum yang ke-14 baru-baru ini dan telah menewaskan calon yang bertanding termasuklah Dato’ Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah yang menyandang kerusi itu sejak 1995. Di DUN Chenderiang pula beliau menewaskan calon dari Barisan Nasional iaitu Chong Shin Heng dan Nordin Hassan daripada Pas dengan majoriti 39 undi.

PUBI Perak sangat teruja dengan pelantikan ini dan mendoakan agar YB dapat memaju Negeri Perak dengan jayanya serta membawa Negeri Perak sebagai salah sebuah negeri yang aman makmur serta maju di Malaysia di samping akan dapat meningkatkan ekonomi negeri perak secara keseluruhannya.

PUBI Perak juga berhasrat agar kerajaan YB dapat meneruskan agenda keusahawan di Negeri Perak dengan meneruskan polisi bantuan keusahawan, pemberian geran, penyediaan fasiliti dan infrastruktur kepada usahawan bumiputera terutamanya disamping memberi perhatian kepada NGO-NGO di Negeri Perak yang bergerak seiring dengan hasrat kerajaan negeri.

Akhir kata, PUBI Perak sekali lagi mengucapkan tahniah kepada YB di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Perak dan semoga PUBI Perak akan menjadi salah sebuah NGO yang dapat membantu kerajaan negeri mencapai misi dan visi yang seiring di dalam membangunkan agenda kemasyarakatan terutamanya di dalam bidang keusahawanan di Negeri Perak ini.

Insyallah.