PERSATUAN USAHAWAN BERSATU IPOH PERAK (PUBI) SEBAGAI SALAH SEBUAH PERSATUAN USAHAWAN DAN NGO PERAK YANG PRIHATIN TELAH MENLANCARKAN TABUNG BANTUAN KECEMASAN COVID-19 PUBI PERAK BAGI MEMBANTU USAHAWAN NAUNGAN PERSATUAN YANG TERJEJAS TERUTAMANYA PENIAGA-PENIAGA KECIL YANG TERLIBAT DENGAN AKTIVITI EKONOMI – PASAR MALAM.

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera,

Sudah hampir seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia bagi mengekang penularan Wabak Covid 19.

Berdasarkan situasi terkini, kadar peningkatan mangsa / pesakit yang positif sangat membimbangkan sehingga melepasi angka 1,500 orang ketika ini. Dan kadar kematian pun telah meningkat kepada 15 kematian.

Melihat kepada situasi ini, potensi untuk pihak kerajaan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilanjutkan, kemungkinan besar akan dilaksanakan sehingga keadaan betul-betul stabil.

Dan sehingga hari ini juga, para peniaga kecil dan penjaja tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan mereka atas perintah (PKP) ini, sekaligus pendapatan harian peniaga dan penjaja kecil ini terjejas.

Untuk maklumat umum, PUBI Perak telah menjalankan aktiviti Keusahawanan (Pasar Malam PUBI) dengan membuka ruang perniagaan kepada peniaga kecil dan para penjaja untuk mencari rezeki dan pendapatan harian mereka di sekitar bandaraya Ipoh ini dengan 5 Pasar Malam keseluruhannya.

Sejumlah 150 orang peniaga yang terlibat secara aktif berniaga sepenuh masa. Dikalangan mereka ini adalah Asnaf, Ibu Tunggal, Pesara dan ada juga yang baru menceburi perniagaan keci-kecilan ini selepas diberhentikan majikan (VSS).

Apabila pihak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac yang lalu, dan arahan penutupan semua pusat-pusat perniagaan melibatkan pasar awam termasuk Pasar Malam, Pasar Tani dan sebagainya, kami menerima pelbagai maklumbalas dari peniaga-peniaga kecil ini mengenai nasib dan masa depan mereka.

Ini kerana kebimbangan mereka jelas apabila punca pendapatan mereka yang akan terjejas dan kebergantungan kepada hasil jualan untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka akan terkesan.

Poster Rasmi Kutipan Bantuan Kecemasan Covid-19 PUBI Perak

Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan baru-baru ada mengumumkan bantuan kepada peniaga-peniaga kecil melalui Pakej Rangsangan dan Bantuan sempena Covid 19 ini. Melalui pakej tersebut, para peniaga kecil ini akan menerima bantuan RM500 secara ‘one off’. Dan bantuan ini akan disalurkan melalui PBT iaitu peniaga-peniaga akan disaring di peringkat PBT, dan hanya mereka yang layak dan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh PBT sahaja yang akan menerima bantuan tersebut.

Antara kriteria utama bagi bantuan tersebut, adalah peniaga-peniaga adalah peniaga yang sah berdaftar / dilesenkan dibawah PBT terbabit. Jika dikutkan syarat atau kriteria tersebut, ramai peniaga-peniaga dan penjaja kecil terutama peniaga-peniaga Pasar Malam PUBI tidak mendaftar di PBT khususnya MBI.

Ini kerana mereka berniaga di Pasar Malam anjuran PUBI Perak, dan tiada syarat seperti diatas yang diperlukan untuk berniaga di Pasar Malam PUBI Perak. Kemungkinan bantuan tersebut tidak dapat disalurkan kepada para peniaga dan penjaja kecil ini. Tetapi usaha untuk membuat rayuan tersebut atas kapasiti PUBI Perak akan diusahakan di peringkat Pengurusan dan Pentadbiran PUBI Perak.

Usaha tersebut akan memerlukan tempoh masa dan waktu yang tidak boleh dijangkakan dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Dan setiap hari kami menerima keluh kesah para peniaga dan penjaja kecil ini yang merintih simpati. Ada yang mengatakan bekalan makanan dan keperluan anak-anak kecil seperti susu dan pampers telah semakin berkurangan dan kemampuan meraka amat terbatas ketika ini.

Oleh yang demikian, PUBI Perak ingin mengambil inisiatif untuk menggerakkan bantuan ini, akan tetapi kami hanyalah sebuah NGO yang bergerak tanpa mendapat keuntungan. Pertubuhan kami ini bergerak tanpa mendapat sebarang keuntungan, jadi kemampuan kami juga agak terhad. Pada awal tahun yang lalu, seramai 50 orang anak-anak Ahli PUBI Perak telah kami beri bantuan awal persekolahan dan juga anugerah kecemerlangan. Usaha tersebut adalah dari sumbangan khairat dan kewangan PUBI Perak sendiri.

Justeru kami di PUBI Perak merayu kepada seluruh anggota masyarakat dan juga korporat yang berkemampuan ketika ini, untuk menyumbang bagi meringankan beban yang sedang dialami peniaga-peniaga kecil dan penjaja ini untuk meneruskan kehidupan menempuh ‘hari-hari sukar’ ini sepanjang tempoh PKP.

SUMBANGAN TUAN/PUAN/PIHAK KORPORAT YANG PRIHATIN INI BOLEHLAH DIBUAT TERUS KE AKAUN PERSATUAN SEPERTI BERIKUT:

Nama Akaun : Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak
No Akaun : 5582 7500 8858 (Maybank)

Sumbangan boleh dibuat sebanyak RM10, RM30, RM50 atau RM100. Dan jumlah terkumpul tersebut akan kami serahkan secepat yang mungkin kepada seluruh peniaga dan penjaja PUBI Perak yang terjejas, dan jika ianya melebihi akan kami salurkan kepada ahli gabungan NGO yang lain.

Dan akhir sekali, kami menyeru kepada semua pelanggan-pelanggan Pasar Malam PUBI, para Usahawan Korporat, NGO-NGO dan setiap anggota masyarakat untuk turut sama meringankan beban saudara-saudara kita. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa baik saudara-saudara sekalian.

Rasulullah SAW bersabda :
“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Hadith riwayat al-Bukhari & Muslim)

Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi Ee. Helmi Fuzi di talian 016-564 4986.

Sekian, terima kasih
Wasalamualaikum WBT.
Mohd Fhami Noordin
Timbalan Pengerusi PUBI Perak