KISAH KEJAYAAN: SIAPA FOUNDER FOODPANDA? BAGAIMANA FOODPANDA INI WUJUD?

Alhamdulillah, sekarang ni nak pesan makanan semuanya lebih mudah dengan adanya Foodpanda. Dengan muat turun aplikasi Foodpanda, makanan yang dipesan pasti akan dihantar dengan cepat oleh ‘abang rider’ Foodpanda. Senang je kan?

Tapi, pernah terfikir tak siapa yang wujudkan Foodpanda ni? Zaman dahulu tak ada pun. Siapa founder dia dan bagaimana tiba-tiba boleh ada Foodpanda di Malaysia?

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Ninja Van: Kisah Seorang Trader Saham Yang Berjaya Membuka Startup Sehingga Terkenal Di Asia Tenggara

SIAPA PENGASAS ATAU FOUNDER FOODPANDA?

Dilahirkan di Berlin, Jerman, Ralf Wenzel merupakan founder atau pengasas bagi Foodpanda. Beliau memiliki ijazah dari Universiti Berlin dalam bidang Sains Komputer. Jadi, sebab inilah yang membolehkan beliau berpengalaman dalam membina dan menguruskan Foodpanda!

Tidak dinafikan bahawa latar belakang pendidikannya telah memainkan peranan yang besar dalam memajukan bisnes Foodpanda tersebut. Sebelum menjadi pengasas Foodpanda, Ralf Wenzel juga telah melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Pada tahun 2002, beliau memulakan kerjayanya sebagai jurutera perisian di syarikat Mercedes-Benz.

2 tahun selepas itu, beliau telah berpindah ke Jambato dalam memulakan kariernya dalam bidang pembangunan perniagaan dan pernah menjadi Ketua Pegawai Operasi. Pada tahun 2012 pula, Ralf Wenzel telah menubuhkan Foodpanda dan telah meletakkan jawatan pada tahun 2017.

KISAH KEWUJUDAN FOODPANDA DI SERATA DUNIA

Pasti anda juga tertanya-tanya bagaimana Foodpanda wujud.  Foodpanda diasaskan pada tahun 2012 oleh Ralf Wenzel bersama-sama Benjamin Bauer di Jerman dengan bantuan Rohit Chadda iaitu pelabur perbankan dari India. 

Untuk pengetahuan anda, konsep awal penubuhan Foodpanda adalah menyelesaikan masalah pelanggan dalam mendapatkan makanan yang diinginkan. Namun dengan adanya Foodpanda, pelanggan boleh memilih makanan yang dipesan dan dihantar terus ke rumah.

Menjelang penghujung tahun 2012, Foodpanda telah berkembang ke 16 buah negara lain dan melebarkan sayapnya ke 7 buah negara lagi setahun selepas itu. Pada tahun 2016, Foodpanda boleh didapati di 24 buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei dan sebagainya. Jenama Foodpanda digunakan hanya di Eropah dan Asia dan di benua lain pula, ianya dikenali dengan Hellofood.

Kejayaan Foodpanda memang tidak dapat disangkal oleh kita semua. Mereka telah memperoleh keuntungan USD 28 juta  pada tahun 2013 dan meningkat naik kepada USD 80 juta pada tahun 2014. Pada tahun 2015 pula, mereka telah memperoleh keuntungan sebanyak USD 210 juta.

KESIMPULAN DARI KISAH KEJAYAAN FOODPANDA

Kejayaan Foodpanda adalah daripada pengalaman Ralf Wenzel dalam menceburi dalam pelbagai bidang kerjaya sebelum menubuhkan Foodpanda. Selain itu, kebijaksanaan Ralf Wenzel dalam memilih rakan kongsi (Rohit Chadda dan Benjamin Bauer) yang hebat juga antara penyumbang penting kejayaan syarikat Foodpanda tersebut. 

Bagi anda yang ingin ataupun telah menjadi seorang pengasas, contohilah kebijaksanaan pengasas Foodpanda ini. Dengan pengalaman, kita dapat belajar dari masa lalu, pengalaman adalah sebaik-baik guru.

Jangan takut untuk berkembang dengan lebih lagi, lebarkan sayap dengan segala ilmu yang diceburi. Sehingga sekarang kita semua menggunakan Foodpanda, nak beli makanan, sekecil-kecil barang pun, Foodpanda hantar ke hadapan rumah terus. Idea sistem ini menjadikan kerja mereka juga produktif. Boleh dikatakan kejayaan ini adalah disebabkan oleh pengasas yang mempunyai sifat idealistik dan bijak merancang.

Semoga kita juga boleh berjaya dalam bidang masing-masing suatu masa nanti.  Semoga bermanfaat.

Sumber: Majalah Labur

Nota: Bagi anda yang ingin dapatkan pelbagai maklumat terkini terutama berkaitan bantuan kerajaan dan info-info berguna, sila ikuti group telegram kami di https://t.me/joinchat/VkYkA8svZj3WB3hD