KISAH KEJAYAAN: RAJA KURMA YUSUF TAIYOOB – DARI PENJUAL MINYAK WANGI KEPADA EMPAYAR KURMA TERBESAR DI MALAYSIA
Alhamdulillah, Ramadhan telah meninggalkan kita semua, sungguh sekejap masa berlalu dan sudah pasti kita akan merindui bulan yang sangat mulia ini. Sudah pasti juga kita akan merindui saat berbuka puasa dengan hidangan kurma yang lazat lagi menyelerakan. Sudah pasti ramai yang masih terngiang-ngiang di telinga iklan bisikan kurma Yusuf Taiyoob bukan?
Keunikan iklan tersebut membuatkan jenama kurma tersebut menjadi jenama kurma nombor satu di Malaysia. Tetapi tahukah anda pengasasnya dahulu mengalami masalah kesihatan yang teruk sehingga muntah darah disebabkan tertekan dengan masalah perniagaan?
Ini merupakan cebisan kisah kejayaan Raja Kurma Yusuf Taiyoob untuk kita jadikan motivasi kita kita untuk terus cekal di dalam dunia perniagaan terutamanya ketika waktu pandemik yang sedang melanda dunia ketika ini.
BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Cara Tebus RM150 Kredit eBelia Melalui ShopeePay Mulai 1 Jun 2021
MULA BERNIAGA MINYAK WANGI PADA USIA REMAJA
Datuk Seri Yusuf Taiyoob menceburi bidang perniagaan pada usia muda iaitu ketika berumur 21 tahun. Kalau anda hendak tahu, perniagaan pertama yang diusahakannya ialah perniagaan minyak wangi. Pada waktu itu beliau turut mengeluarkan minyak wanginya sendiri secara kecil-kecilan untuk para pelancong. Kedainya yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mendapat sambutan yang menggalakkan.
Tetapi panas tidak sampai ke petang. Setelah premisnya dipindahkan ke tempat lain, perniagaannya merundum teruk sehingga beliau terpaksa berhenti daripada meneruskan perniagaan tersebut. Tekanan yang dihadapi telah membuatkan beliau jatuh sakit dan muntah darah kesan daripada masalah perniagaan yang dihadapinya.
Apabila keluar sahaja daripada hospital, anak jati Pulau Pinang ini kembali dengan semangat baru untuk berjaya dalam bidang perniagaan. Dengan sokongan daripada ahli keluarga, beliau mula menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan kekacang dan rempah pula.
Memulakan semula perniagaan daripada bawah bukanlah sesuatu yang mudah. Datuk Seri Yusuf menggunakan segala sumber yang ada bagi menjalankan perniagaannya, termasuklah menggunkan satu ruangan kecil di kedai datuknya.
GUNA KAEDAH ‘TRY AND ERROR’
Dengan kaedah ini, beliau cuba menjual pelbagai jenis produk. Produk yang memberikan pulangan yang tinggi akan diteruskan, manakala produk yang tidak memberikan keuntungan tidak akan dijual lagi. Walaupun masih menghadapi pelbagai cabaran seperti vendor melarikan diri, tetapi beliau cuba menghadapinya dengan tenang dan profesional.
Kesabaran serta kegigihannya terbalas apabila kini beliau telah menjadi seorang pengimport serta pengedar kurma yang disegani. Syarikatnya yang berpengkalan di Pulau Pinang bukan sahaja menerima permintaan dari dalam negara, tetapi juga mendapat sambutan yang menggalakkan dari luar negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan banyak lagi.
Syarikat yang diasaskan pada tahun 1988 itu, kini telah mempelbagaikan lagi produknya seperti jus buah-buahan, sabun herba, bahan membuat kuih-muih dan banyak lagi.
Sifat tidak mudah mengalah yang dimiliki oleh Datuk Seri Yusuf ini patut dicontohi oleh anak-anak muda di luar sana. Walaupun pernah dihalau sewaktu ingin menjual produknya, inilah yang menjadi satu kenangan yang membawa dirinya untuk berjaya seperti sekarang.
PERNAH GAGAL BERKALI-KALI DI DALAM PERNIAGAAN
Disebalik jenamanya kini yang sudah gah dan dikenali ramai, sebelum ini ahli perniagaan ini pernah berdepan kegagalan. Ini lapan fakta mengenai Yusuf Taiyoob yang dikongsikan oleh Taqi Amssb menerusi Facebook.
1. Gagal dalam perniagaan pertama iaitu menjual minyak wangi di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas pada tahun 1977.
2. Walaupun di usia muda (19), beliau hadapi tekanan sehingga muntah darah akibat dari kegagalan bisnes pertama tersebut.
3. Bangkit semula dengan mengusahakan perniagaan berkaitan kosmetik iaitu Yusuf Cosmetic pada 1979. Tapi hanya bertahan selama 2 tahun.
4. 1988 beliau bangit sekali lagi dengan menubuhkan syarikat gergasi ini yang berdaftar atas nama beliau sendiri; Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd.
5. Kini membekal 30 jenis Kurma dan lebih 100 produk makanan ke seluruh Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Thailand.
6. Jenis kurma Yusuf Taiyoob yang paling popular iaitu Waseem, Safiya dan Safina adalah berasal dari nama anak-anak beliau.
7. Kilang Yusuf Taiyoob terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, tempat yang sangat strategik, berada di tepi Lebuhraya PLUS. Siapa yang lalu, mesti tak akan terlepas pandang kilang beliau yang gah ini.
8. Dapat gelaran Datuk pada tahun 2002.
Apa yang dipelajari daripada kisah Raja Kurma Malaysia ini tidak bermakna sekali gagal kita akan gagal selamanya. Semoga kisah ini memberi semangat dan motivasi kepada kita untuk terus maju dan berjaya di dalam perniagaan masing-masing. Insyallah..
Nota: Bagi anda yang ingin dapatkan pelbagai maklumat terkini terutama berkaitan bantuan kerajaan dan info-info berguna, sila ikuti group telegram kami di https://t.me/joinchat/VkYkA8svZj3WB3hD.
KOMEN TERKINI