Bismillahirahmanirahim..

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana diberikan kesihatan yang baik untuk kita sama-sama meraikan Hari Raya Aidil Fitri yang akan tiba tidak lama lagi. Sesungguhnya berkat limpah kurnia dariNya ini dapat kita menghirup udara yang nyaman di bumi Malaysia yang aman damai ini.

Alhamdulillah, hampir sebulan kita berpuasa menempuh segala rintangan, halangan serta cabaran di dalam kehidupan masing-masing terutamanya di dalam mencari rezeki di bumi Allah ini. Ada yang mendapat rezeki yang banyak, melimpah-ruah dan ada pula yang mendapat rezeki yang ‘cukup-cukup’ buat dirinya serta keluarganya yang tersayang.

Namun, walau apa jua keadaan kita haruslah kita melafazkan rasa syukur kepadaNya, kerana kita harus yakin bahawa setiap rezeki itu ada nikmat dan hikmahnya tersendiri. Kita harus faham bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Jangan pula kita mengeluh andai merasakan bahawa rezeki yang Allah beri itu tidak sehebat rakan-rakan atau saudara-mara yang kita kenali.

Rezeki Allah itu datang dalam pelbagai bentuk, ada yang hidupnya mewah tetapi sakit. Ada pula yang tidak berduit tetapi memiliki anak yang soleh serta isteri yang taat. Begitulah Allah, sentisa adil kepada hambaNya, tidak pernah sekalipun menzalimi hambaNya.

Oleh itu, marilah kita di hari lebaran yang bakal tiba ini, kita memanjatkan rasa kesyukuran kepadaNya. Kita panjatkan doa serta berlapang dada di hari yang mulia ini, disamping kita bermaaf-maafan sesama kita.

Jadikan 1 syawal ini hari yang paling bahagia dalam hidup kita ini, lupakan segata sengketa, bina semula hubungan yang retak serta menghormati di antara satu sama lain. Inilah titik tolak di dalam hidup kita untuk menjadi insan yang baik serta disenangi oleh sahabat handai serta saudara-mara kita.

Insyallah, dengan perubahan yang kita buat ini, rezeki kita Allah akan lipat kali gandakan lagi. serta akan dipermudahkan segala urusan kita terutama di dalam bidang perniagan. Yakinlah bahawa Allah sentiasa merancang yang terbaik buat kita semua.

Sekian dulu daripada saya, saya doakan anda semua mendapat kebahagian dan kemaafan di hari raya aidil fitri yang mulia ini. Semoga kita peroleh kejayaan serta rezeki yang baik-baik dariNya.

Akhir kata, selamat hari raya aidil fitri dari saya, maafkan saya di atas segala kekhilafan saya selama ini dan marilah kita bersatu di bawah panji PUBI Perak dan KOPUBI Perak Bhd, Insyallah kita akan mendapat segala kebaikan dan manfaat bersama.

Sekian, wabillahitaufiqwalhidayah wassalamualaikum warahmatullahibarokatuh.

Nukilan, En. Sharul

Pengerusi PUBI Perak & KOPUBI Perak Bhd.