TERKINI: PERAK UMUM BANTUAN ‘ONE-OFF’ RM500 KEPADA PENIAGA DAN PENJAJA KECIL

Ipoh: Kerajaan Perak meluluskan peruntukan khas bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Ke-4 (PRE Fasa 4) sejumlah RM9 juta bagi meringankan beban peniaga dan penjaja kecil serta usahawan mikro di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan yang disalurkan itu berikutan prihatin dengan kekangan yang dihadapi mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Antara inisiatif di bawah PRE Fasa 4 ini adalah pengecualian sewaan gerai makan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh sebulan (November 2020).

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: i-Sinar KWSP – Semak Permohonan & Kadar Pengeluaran Akaun 1 KWSP

“Inisiatif ini memberi manfaat kepada 10,335 peniaga dan penjaja kecil di kesemua 15 PBT seluruh negeri dengan peruntukan sebanyak RM1.63 juta,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, bagi meringankan beban peniaga dan penjaja kecil, kerajaan negeri turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM4.7 juta bagi menyalurkan bantuan ‘one-off’ (sekali bayar) RM500 kepada 9,381 peniaga dan penjaja kecil.

“Ini adalah bantuan ‘one-off’ kali kedua kepada peniaga dan penjaja kecil selepas kerajaan negeri menyalurkan bantuan tunai RM500 dalam PRE Fasa 2 sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, bagi membantu lebih ramai usahawan mikro yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 ini, kerajaan negeri bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2.7 juta untuk Geran Prihatin Usahawan Perak (GeRUP).

“Sebelum ini, di bawah PRE Fasa 2, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu usahawan mikro untuk terus kekal berdaya saing,” katanya.

Sumber: Metro

Leave a Reply