TERKINI: PASAR TERBUKA, MALAM, PAGI DAN BAZARIA DI WP DIBENAR BEROPERASI
PASAR terbuka, pagi, malam dan Bazaria di Wilayah Persekutuan (WP) akan dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, waktu operasi yang dibenarkan bagi pasar pagi dan terbuka adalah dari 6 hingga 11 pagi; manakala pasar malam dari 4 petang hingga 10 malam.
Sementara, Bazaria dibenarkan beroperasi dari 5 petang hingga 11 malam.
BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Internet Percuma 1GB Sehingga 31 Dis 2020
“Mesyuarat hari ini kita mendengar pembentangan daripada Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai cadangan permohonan pembukaan semula pasar terbuka, pagi, malam, serta Bazaria dan kita bersetuju dengan SOP yang dibentangkan.
“Antara SOP yang dipersetujui adalah kedudukan gerai ditetapkan antara 1.5 hingga dua meter dan lokasi kawasan perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.
“Pemeriksaan suhu badan akan dilakukan di laluan masuk dan pengunjung perlu menggunakan pensanitasi tangan selain digalakkan memakai pelitup muka.
“Bagaimanapun, peniaga tidak boleh menyediakan meja atau tempat makan, dan pelanggan hanya boleh membawa pulang makanan dibeli,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, peniaga juga perlu memakai sarung tangan dan pelitup mulut.
Menurutnya, peniaga yang akan memulakan perniagaan boleh melihat SOP ini menerusi laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan DBKL.
Menurutnya, SOP ini boleh diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pasar di seluruh Malaysia. “Tindakan penutupan serta-merta akan dilakukan sekiranya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Peniaga dan pengunjung juga diwajibkan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya.
Sumber: Harian Metro
KOMEN TERKINI