
PUBI PERAK SELAKU PERSATUAN USAHAWAN DAN NGO PERAK YANG AKTIF DI BANDARAYA IPOH MENERUSKAN USAHA-USAHA MURNI UNTUK MEMBANGUNKAN USAHAWAN SERTA MEMBANTU USAHAWAN DISAMPING MENJALANKAN AKTIVITI KEBAJIKAN DAN AMAL UNTUK MEMBANTU MASYARAKAT DI LUAR SANA.
Antara usaha yang dijalankan oleh PUBI Perak adalah dengan menganjurkan kelas dan bengkel latihan keusahawanan, kursus usahawan dan taklimat yang berimpak tinggi serta memberi manfaat yang sangat berguna kepada usahawan dan bakal usahawan.
Selain itu, PUBI Perak selaku NGO Perak yang prihatin juga turut memainkan peranan yang besar di dalam komuniti dengan menjalankan aktiviti amal, sosial, kebajikan serta kemasyarakatan.
Terkini pada 21 Jun 2025 yang lalu, Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI) telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Kali Ke-6 bertempat di Dewan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Kinta (Lahat), Kampung Pengkalan Pegoh, Lahat, Perak.
AKTIVITI PERSATUAN SEBELUM INI : Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Dppm Kali Ke-12
Mesyuarat ini telah dimulakan pada jam 2.30 petang dengan pendaftaran kehadiran para ahli dan delegasi, sebelum diteruskan dengan aturcara rasmi yang disusun kemas mengikut protokol mesyuarat agung yang telah ditetapkan.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh pengerusi majlis, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Perak, serta bacaan doa sebagai pembuka tirai rasmi kepada pertemuan dwitahunan ini.
Tepat jam 3.00 petang, Pengerusi PUBI Perak, Ydh. Tuan Sharul Baha bin Abd Rahman telah menyampaikan ucapan aluan dan merasmikan mesyuarat tersebut secara rasmi.
Dalam ucapannya, beliau telah menyentuh pelbagai aspek penting berhubung pembangunan dan hala tuju persatuan, serta menyeru agar seluruh ahli terus komited dalam menjayakan misi dan visi PUBI sebagai wadah penyatuan usahawan di Perak.
Mesyuarat kemudian diteruskan dengan pembentangan laporan-laporan rasmi termasuk Ucapan Pengerusi Mesyuarat, Laporan Setiausaha Agung, Laporan Bendahari Agung serta pembentangan usul pindaan Perlembagaan PUBI Perak bagi tahun 2025.
Mesyuarat juga mengambil maklum dan membincangkan beberapa usul yang dikemukakan oleh ahli, sebelum meneruskan agenda pelantikan juruaudit dalaman serta proses pengesahan jawatankuasa baharu.
Dalam mesyuarat kali ini, dua orang calon telah menang tanpa bertanding bagi jawatan Juruaudit Dalaman PUBI Perak iaitu Pn Aini Suryana binti Zaini dan Muhamad Zakwan bin Othman Shahrudin.
Selain itu, mesyuarat turut meluluskan secara sebulat suara pelantikan dua orang Ahli Jawatankuasa baharu bagi menggantikan jawatankuasa terdahulu yang telah meletakkan jawatan atas sebab tertentu.

Dua individu yang dilantik ialah Emelia binti Abdan dan Norfaizatul Baizura Ezlin binti Haszukeri, masing-masing menggantikan Norhuda binti Abdul Razak dan Norhapiza binti Yahaya yang melepaskan jawatan mereka lebih awal.
Tiada pemilihan AJK baharu diadakan bagi penggal ini kerana tempoh pemilihan jawatankuasa adalah berdasarkan perlembagaan persatuan iaitu setiap empat tahun sekali.
Mesyuarat turut dihadiri oleh barisan Jawatankuasa Tertinggi PUBI iaitu En Sharul Baha bin Abd Rahman selaku Pengerusi, En Muhammad Farhan bin Che Zafri sebagai Timbalan Pengerusi, En Haizul Fakarudin bin Mohamed Redzuan sebagai Setiausaha, Pn Zuraida binti Zulkepli selaku Penolong Setiausaha serta En Mohammad Nafis bin Zamah Sari selaku Bendahari.
Turut hadir adalah barisan Ahli Jawatankuasa PUBI dan para ahli berdaftar yang memberikan sokongan penuh terhadap perjalanan mesyuarat ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan dengan tenang dan teratur oleh Ydh. Tuan Sharul Baha bin Abd Rahman ini akhirnya ditangguhkan tepat jam 4.15 petang selepas selesai semua agenda yang telah dirancang.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi bergambar kenangan antara AJK dan ahli-ahli persatuan sebagai simbolik penyatuan dan solidariti ahli persatuan.
Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua ahli yang hadir dan menyokong kelangsungan Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI).
Dengan komitmen dan semangat yang terus membara, diharapkan persatuan ini akan terus menjadi platform berwibawa yang menyatukan usahawan-usahawan di negeri ini, sekaligus memperkukuh jaringan ekonomi dan keusahawanan komuniti secara menyeluruh.
Insyallah.
KOMEN TERKINI