SEMUA PASTI INGAT KES YANG MENYENTAP SELURUH HATI RAKYAT MALAYSIA BARU-BARU INI.

Terkini, Mahkamah Majistret Selayang hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman selama seminggu lagi ke atas seorang wanita berhubung kes bayi lelaki berusia lima bulan yang ditemukan mati di rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves, di Kuala Lumpur.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri mengeluarkan perintah reman itu bermula esok hingga 17 Julai selepas membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap pengasuh wanita berusia 33 tahun itu.

Rabu lalu, pengasuh itu bersama-sama lagi seorang wanita berusia 36 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh bayi Adam Rayqal Mohd Sufi. Tempoh tahanan reman mereka berdua berakhir hari ini.

Pihak polis yang ditemui di mahkamah mengesahkan suspek wanita berusia 36 tahun itu akan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Selasa lalu, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini sebelum mayatnya ditemukan oleh anggota polis di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama lewat malam hari kejadian.

Susulan itu, pengasuhnya dan seorang lagi wanita ditahan pada hari sama dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi berkenaan.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala.

Sumber: Bernama