SEJAUH MANA KEBENARAN ISU INI?

Tular di media sosial baru-baru ini yang mengatakan bahawa penceramah popular tanah air, Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias yang mahu menjual pusat tahfiz yang diusahakannya, Pusat Pendidikan Al-Barakah yang terletak di Manjoi, Ipoh di Perak.

Carian kami di media sosial membawa kepada satu laman sesawang jualan atas talian di mana beberapa keping gambar yang mengiklankan kompleks tersebut untuk dijual pada haraga RM 5 juta.

Melalui beberapa kemas kini di laman facebook penceramah tersohor itu, kami mendapati bahawa beliau turut sedia maklum dengan perkembangan dan cakap-cakap mengenai penjualan pusat tahfiz miliknya.

Dato’ Ustaz Kazim bagaimanapun meminta orang ramai untuk menunggu kenyataan rasmi yang akan dibuatnya melalui satu sidang media yang tidak dinyatakan dalam kemas kini yang lebih awal.

Bagaimanapun semakan kami pada akaun facebooknya mendapati satu kemas kini lebih baru, beliau mengesahkan akan mengadakan satu sidang media khas pada 11.30 pagi, 11 Julai.

 

Beliau turut memberitahu bahawa sidang media tersebut akan diadakan di Dewan Annuar Mat Taib di Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Dalam pada itu, salah satu akhbar tempatan melaporkan bahawa beliau bersetuju untuk menjual sebahagian daripada kompleks pusat pendidikan miliknya selepas mendakwa bahawa beliau disekat daripada menyampaikan ceramah hingga punca pendapatan terjejas sekaligus mengganggu operasi pusat pengajiannya.

Lapor akhbar itu lagi, akibat sekatan yang dibuat terhadapnya, pusat tahfiz tersebut menghadapi masalah kewangan hingga memaksa beliau dan pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan sedemikian.

Pusat tahfiz itu dikatakan memerlukan perbelanjaan kira-kira RM 150 ribu sebulan bagi memastikan operasi dan kebajikkan 100 penghuninya terjamin.

Melalui penjualan sebahagian kompleks tersebut, beliau memberitahu akhbar itu bahawa ia dapat memastikan Tadika Nurul Barakah dan Pengajian Pondok untuk dewasa dapat terus beroperasi.

Sumber: Siakap Keli

Baca juga artikel '4 Buah Restoran Sushi King Malaysia Belum Dapat Sijil Halal'

TIADA ARAHAN SEKAT MANA-MANA PENCERAMAH – ASMUNI AWI

IPOH – Kerajaan Perak tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menghalang mana-mana tokoh penceramah agama daripada menerima jemputan berceramah di masjid dan surau di negeri itu.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, pihaknya menegaskan pengurusan jawatankuasa kariah masjid dan surau di seluruh Perak masih lagi berfungsi di bawah lantikan kerajaan terdahulu.

Menurutnya, sekiranya terdapat pihak tertentu merasakan mereka kurang menerima jemputan berceramah oleh pihak masjid dan surau, mereka perlu mendapatkan maklum balas punca keadaan itu daripada pengurusan institusi agama itu sendiri.

“Bila masa kerajaan negeri baharu keluar arahan halang mana-mana tokoh agama berceramah di masjid dan surau di negeri ini?

“Kalau ada pihak rasa kurang terima jemputan (berceramah), kena tanya pengurusan masjid dan surau sebab apa?,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta penjelasan susulan kenyataan abang kepada tokoh penceramah terkemuka, Datuk Mohd Najmuddin Elias mendakwa tindakan Datuk Mohd Kazim Elias menjual sebahagian Kompleks Al Barakah, Manjoi di sini akibat kekangan kewangan setelah kurang menerima jemputan berceramah agama.

Menurutnya, masalah kekurangan jemputan berceramah agama dialami Mohd Kazim dipercayai disebabkan faktor perbezaan politik apabila tokoh agama terkemuka itu sebelum ini dilihat cenderung kerajaan BN.

Mengenai isu cadangan Mohd Kazim ingin menjual sebahagian Kompleks Al Barakah, Asmuni menegaskan pihaknya tidak tahu menahu mengenainya.

Menurutnya, pihaknya ada mendengar khabar angin mengenai isu itu sebelum ini, namun sehingga kini tiada pihak tampil memaklumkannya secara terus.

“Sehingga kini, saya juga tidak tahu bagaimana proses perjalanan pentadbiran kompleks pendidikan agama itu kerana pengurusan sekolah tidak pernah hadir bersemuka.

“Terpulang kepada mereka, sekiranya mereka memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri, mereka boleh berjumpa secara terus dengan saya atau Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk).

“Cuma, saya minta biarlah pihak pengurusan kompleks pendidikan itu sendiri hadir berurusan dengan saya dan bukan hantar wakil sahaja,” katanya.

Asmuni turut menerangkan mana-mana pusat tahfiz yang bermasalah boleh berjumpa dengan kerajaan negeri dan majlis agama Islam negeri bagi untuk memaklumkan permasalahan dihadapi.

“Selepas itu, barulah kita boleh fikirkan kaedah terbaik membantu mereka.

“Bagi pusat tahfiz yang beroperasi dengan baik, jalankan seperti sediakala kerana kerajaan negeri baharu tiada masalah dengannya,” katanya.

PUBI Perak berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan tiada persengketaan di antara Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Harapan dan Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias.

Insyallah..