TERKINI: JAKEL CAWANGAN SHAH ALAM HAMPIR MUSNAH DALAM KEJADIAN KEBAKARAN AWAL PAGI TADI

Sebut mengenai jenama Jakel pastinya ramai yang cukup mengenalinya. Berjaya menawarkan seleksi kain dan pakaian sejak sekian lama antara yang membuatkan jenama ini menjadi kunjungan setiap kali menjelang musim perayaan.

Terbaharu, sebuah berita duka buat syarikat Jakel apabila dilaporkan Jakel cawangan Shah Alam dilaporkan hampir musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Kebakaran yang berlaku dilaporkan telah memunahkan bahagian dalam bangunan lot kedai tiga tingkat yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, pihaknya terdahulu menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada jam 7.08 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan satu lot kedai tiga tingkat yang sedang terbakar 80 peratus.

“Api berjaya dikawal dalam tempoh satu jam dan bahagian dalam kedai didapati musnah dalam kebakaran ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan pasukan bomba kini dalam tindakan pemadaman bara api di bawah timbunan kain. Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit setakat ini dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Sumber: Berita Harian

Nota: Bagi anda yang ingin dapatkan pelbagai maklumat terkini terutama berkaitan bantuan kerajaan dan info-info berguna, sila ikuti group telegram kami di https://t.me/joinchat/VkYkA8svZj3WB3hD