KISAH KEHIDUPAN – ISTERI MENINGGAL SELEPAS BERSALIN, BAPA MUDA INI JADIKAN BAYI KEMBAR PENGUAT SEMANGAT
“HARI ini (semalam) sambutan Hari Ibu, tapi isteri tidak sempat menerima ucapan itu, cuma saya zahirkan perasaan itu kepada dua anak kembar kami sahaja,” kata Syazwan Najmi Zulkarni yang kematian isteri selepas dua minggu melahirkan bayi kembar perempuan mereka.
Syazwan Najmi, 23, berkata setiap kali memandang wajah kedua-dua bayinya, setiap kali itulah wajah arwah isterinya, Siti Nur Nasuha Shafie, 23, menjelma.
Dia juga sentiasa ingat pesanan arwah isterinya yang memintanya supaya membesarkan kedua bayi perempuan mereka yang kini berusia 40 hari dengan baik sekiranya berlaku sesuatu terhadapnya.
BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Koma Selepas Bersalin, Ibu Bayi Kembar Meninggal Dunia
Katanya, sebaik dapat melihat kali pertama wajah dua bayi kembar itu pada 21 April lalu, air matanya terus bergenang dan membayangkan jika arwah isteri dapat bersama memangku bayi mereka.
“Medina Sofiya (kembar bongsu) dibenarkan pulang terlebih dahulu iaitu pada 21 April lalu manakala si kakak pula, Medina Safiya seminggu selepas itu kerana masih belum cukup timbangan dan tidak dapat biasakan diri lagi dengan minum susu botol.
“Lebih seminggu pertama kepulangan, kembar ini dibawa ke rumah mertua di Kampung Ketil kerana keluarga arwah isteri turut merindukan dua puteri kami ini yang juga cucu sulung mereka.
“Selepas itu saya membawa pulang Sofiya dan Safiya ke rumah di Kampung Pak Keral sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Tumpat.
Syazwan Najmi berkata, rutinnya mulai berubah sejak kehadiran mereka apabila kerap berjaga malam untuk menukar lampin pakai buang dan membancuh susu formula buat si kembar itu.
Dia berkata, adakala terlintas dalam fikirannya sama ada mampu atau tidak untuknya menggalas tanggungjawab sebagai bapa di usia muda tanpa kehadiran isteri.
“Tapi saya bernasib baik kerana keluarga kedua belah pihak sangat membantu dan memberi sokongan penuh untuk saya mengharungi dugaan hidup ini. Kembar ini menjadi penguat semangat saya.
“Sehingga hari ini saya masih mengunjungi pusara isteri di Tanah Perkuburan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor melainkan ada aral atau cuaca tidak mengizinkan.
“Cuma untuk masuk dan tidur di bilik tidur kami, saya belum ada kekuatan untuk itu..sekarang saya tidur bersama dua kembar ini di ruang tamu yang mana ruang itu memang diminta oleh arwah isteri untuk berpantang,” katanya.
Harian Metro sebelum ini memaparkan kisah pilu yang menimpa ibu muda itu yang dua minggu bertarung nyawa sebelum meninggal dunia selepas bersalin akibat komplikasi dalaman.
Arwah yang melahirkan bayi kembar perempuan tidak sempat menatap kedua cahaya mata sulung kerana berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sumber: Chepedak Cheese
KOMEN TERKINI