
KOPERASI USAHAWAN BERSATU IPOH PERAK BHD MENERUSKAN MISI UNTUK MENJADI SEBUAH KOPERASI YANG BERDAYA SAING SERTA MAMPU MENINGKATKAN JANA PEMBANGUNAN EKONOMI DI NEGERI PERAK.
Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak Berhad (KOPUBI Perak Bhd) sekali lagi tampil sebagai entiti koperasi yang aktif dan prihatin dalam menjayakan agenda pemerkasaan masyarakat, khususnya berkaitan perancangan pengurusan harta pusaka.
Pada 14 Jun 2025 yang lalu, bertempat di SMK Raja Perempuan Ipoh, pasukan pemasaran MyAngkasa Amanah Berhad Team KOPUBI telah membuka booth perkhidmatan sempena Hari Koperasi 2025 anjuran pihak sekolah berkenaan.
Majlis ini telah dirasmikan oleh En. Sharul Baha bin Abd Rahman, Pengerusi Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak Bhd yang juga merupakan Setiausaha Jawatankuasa ANGKASA Negeri Perak.
AKTIVITI KOPERASI SEBELUM INI : Pendaftaran Pelanggan Myangkasa Amanah Bhd
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah YBrs. Puan Wiza Rozahrin binti Mohamed Radzi, Pengetua SMK Raja Perempuan, En. Mohd Syahrizal Azmi selaku Yang Dipertua PIBG dan En. Ashraf mewakili Pejabat ANGKASA Negeri Perak.
Melalui penyertaan ini, KOPUBI Perak Bhd bukan sahaja mengambil peluang memperkenalkan produk-produk pengurusan harta seperti MyWasiat, MyHibah, MyPusaka dan MyAmanah Pusaka Care, malah turut menyampaikan mesej penting mengenai kepentingan membuat perancangan harta semasa hayat masih ada.
Para pengunjung terutamanya kalangan guru, ibu bapa serta warga pendidik telah diberi penerangan yang jelas mengenai prosedur, keperluan dan kelebihan menyusun perancangan harta melalui dokumen yang sah di sisi undang-undang serta patuh syariah.
Ramai dalam kalangan masyarakat masih belum menyedari bahawa tanpa dokumen sah seperti wasiat atau hibah, proses pengurusan harta pusaka selepas kematian boleh menjadi sangat rumit dan memakan masa bertahun lamanya.
Melalui inisiatif ini, Team KOPUBI berjaya membuka mata ramai pihak mengenai kepentingan melantik wasi atau pentadbir harta dengan lebih awal, demi memastikan waris yang ditinggalkan tidak terbeban dan proses pengagihan harta dapat dilaksanakan secara adil, teratur dan lancar.
Usaha turun padang seperti ini bukan sahaja membawa manfaat secara langsung kepada masyarakat, malah menyumbang kepada prestasi perniagaan koperasi itu sendiri.
KOPUBI Perak Bhd melihat inisiatif seperti ini sebagai antara strategi paling berkesan dalam menggerakkan produk koperasi ke tengah masyarakat serta menjana pendapatan koperasi yang mampan.

Di samping itu, ia juga memperkukuh sokongan terhadap misi ANGKASA dalam memastikan setiap produk koperasi mampu bersaing dan memberi impak yang nyata kepada komuniti setempat.
Program Hari Koperasi SMK Raja Perempuan 2025 juga turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk gerai permainan, rumah hantu, zoo mini, pameran interaktif serta pemeriksaan kesihatan percuma untuk wanita.
Kehadiran booth KOPUBI Perak Bhd telah melengkapkan lagi pengisian hari tersebut dengan elemen pendidikan kewangan dan kesedaran perancangan masa depan yang sangat relevan dan signifikan kepada kehidupan masyarakat hari ini.
KOPUBI Perak Bhd optimis bahawa usaha yang dilakukan ini bukan sahaja akan memberi manfaat langsung kepada anggota koperasi, tetapi turut memberi limpahan ekonomi dan kesedaran sosial yang lebih meluas kepada rakyat negeri Perak.
Dengan pendekatan yang menyeluruh, proaktif dan berasaskan nilai tanggungjawab sosial, KOPUBI Perak Bhd akan terus mara ke hadapan sebagai sebuah koperasi yang komited, kompeten dan diyakini.
InshaAllah, langkah-langkah kecil ini akan menjadi batu asas kepada perubahan besar dalam landskap kesedaran masyarakat terhadap pengurusan harta dan perancangan kewangan Islam yang teratur.
Semoga usaha ini terus diberkati dan membawa manfaat kepada seluruh anggota dan komuniti yang didampingi oleh koperasi ini.
#KOPUBI #MyAngkasaAmanah #KoperasiUsahawan #MencaknaEkonomiBangsa #GerakanKoperasi #Malaysia



KOMEN TERKINI