Bismillahirahmanirahim,
Alhamdulillah syukur dengan limpah dan kurniaNya dapat saya mencoretkan sesuatu di halaman ini. Tiada apa yang dapat saya gambarkan betapa gembiranya saya kerana saat yang ditunggutelah tiba iaitu pelancaran laman web rasmi PUBI Perak yang kini telahpun menjadi realiti.
Sesungguhnya pelancaran laman web ini adalah sesuatu perkara yang sangat membanggakan kerana ianya adalah sebahagian daripada perancangan strategik PUBI Perak di dalam misi & visinya untuk mencapai matlamat penubuhan persatuan ini. Laman web ini juga sangat-sangatlah dinantikan oleh setiap Ahli Berdaftar PUBI Perak terutamanya Ahli Jawatankuasa Induk yang bertukus lumus untuk merealisasikan perkara ini.
Dengan pelancaran Laman web ini juga membuktikan bahawa PUBI Perak adalah salah sebuah NGO yang sangat komited dan berdaya maju di dalam usahanya untuk memajukan sektor keusahawanan di Bandaraya Ipoh dan ini akan menjadi contoh kepada semua NGO yang lain bahawa dengan perancangan dan usaha yang tinggi kita mampu mencapai sesuatu yang mustahil dan diluar jangkaan kita.
Syukur Alhamdulilah, setelah dua tahun penubuhan Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak pada 15hb April 2016 yang lalu, kini pada tarikh yang sama tahun 2018 secara rasminya dilancarkan laman web PUBI Perak yang sangat ekslusif dan berdaya saing.”Kita hanya perlu lebih fokus dan komited serta jangan mudah berputus asa. Janganlah kita ambil peduli kepada mereka yang ingin melihat kita jatuh di dalam usaha untuk kita menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai NGO. Sebaliknya jika kita berkerja dengan ikhlas dan disusuli dengan komitmen yang tinggi, Insyallah.. tugas dan tanggungjawab itu akan menjadi lebih mudah dan akan dipermudahkan urusan kita olehNya.-En Sharul
Harapan saya, semoga dengan terbinanya laman web ini akan memberi manfaatkan yang berguna untuk ahli berdaftar PUBI Perak di dalam usaha mereka untuk meningkatkan ekonomi masing-masing. Laman web ini akan menjadi platform kepada semua untuk mempromosikan perniagaan masing-masing dengan lebih tersusun, kemas dan rapi dan yang penting sekali adalah impak serta kesannya kepada masyarakat.
Akhir kata, semoga PUBI Perak akan menjadi sebuah NGO yang disegani dan dihormati di Negeri Perak, di dalam usahanya untuk membangunkan usahawan yang berintelektual, bersatu-padu dan bekerjasama di dalam menjayakan misi membangunkan ekonomi negara secara amnya dan kepada negeri Perak yang tercinta secara khususnya. Insyallah..”
Berakhlak, Berilmu, Bermotivasi
Sharul Baha Bin Abd Rahman
Pengerusi PUBI Perak
KOMEN TERKINI