COVID-19: PM BRITAIN BORIS JOHNSON DIPINDAHKAN KE ICU

WASHINGTON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak semalam, selepas keadaan kesihatan dan gejala dihadapinya bertambah teruk, kata Downing Street.

Johnson turut mengarahkan Setiausaha Luarnya, Dominic Raab untuk mengambil alih tempatnya sementara waktu, agensi Xinhua News melaporkan menurut jurucakap Downing Street.

Perdana Menteri berusia 55 tahun itu dimasukkan ke St Thomas Hospital di London dengan gejala berterusan Ahad lalu, selepas 10 hari disahkan positif Covid-19.

Covid-19: Sejuta Manusia Telah Dijangkiti Di Seluruh Dunia –>

Jurucakap itu berkata, Perdana Menteri dipindahkan ke hospital selepas dinasihatkan oleh pasukan kesihatan, dan beliau mendapat penjagaan terbaik.

“Sejak petang Ahad, Perdana Menteri berada di bawah jagaan doktor di St Thomas Hospital, selepas dimasukkan ke hospital itu dengan gejala koronavirus yang berterusan.

“Sepanjang petang, keadaan Perdana Menteri semakin teruk dan atas nasihat pasukan perubatan, beliau dipindahkan ke ICU,” katanya dalam kenyataan.

“Perdana Menteri menerima penjagaan yang sangat baik, dan terima kasih kepada kakitangan NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan) atas kerja keras dan dedikasi mereka,” katanya.

Dua anggota polis berpakaian seragam turut ditempatkan di pintu masuk St Thomas Hospital, petang Isnin.

Sepanjang hari, kenderaan pegawai dan kenderaan polis dilihat dan masuk dan keluar dari hospital berkenaan.

Covid 19: Ditembak Mati Kerana Enggan Pakai Topeng Muka –>

Angka kematian akibat Covid-19 di Britain mencecah 5,373 sehingga petang Ahad, meningkat sebanyak 439 setiap hari, kata Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Kesihatan.

Sehingga pagi Isnin, jumlah positif Covid-19 di Britain mencecah 51,608 meningkat 3,802 dalam tempoh 24 jam, kata jabatan itu.

Sumber: Harian Metro