CARA SEMAK i-SINAR KWSP PENGELUARAN AKAUN 1 (KATEGORI 1) RM10,000
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan maklumat lanjut terkini mengenai kemudahan i-Sinar iaitu pengeluaran Akaun 1 KWSP. Terkini, semakan status pengeluaran i-Sinar boleh dibuat di portal rasmi isinar.kwsp.gov.my bermula 4 Januari 2021.
Pembayaran dijangka dibuat pertengahan bulan ini. Bagi permohonan yang tidak lulus kategori 1, anda boleh membuat permohonan kategori 2 bermula 11 Januari nanti. KWSP dalam kenyataan terbaharunya bersetuju untuk meluaskan skop i-Sinar yang akan memberikan manfaat sekitar 8 juta ahli yang terjejas.
Pencarum KWSP yang layak untuk mengeluarkan wang mereka sehingga RM10,000 dan juga RM60,000 bergantung kepada kriteria yang terlibat. Pengeluaran kemudahan i-Sinar ini akan membabitkan peruntukan sebanyak RM70 bilion.
BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Jangan Terpedaya Aplikasi Palsu i-Sinar
Untuk makluman, dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November yang lalu, beliau menyatakan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar akan dibenarkan berjumlah RM500 sebulan yang memberikan manfaat kira-kira 600,000 orang ahli sahaja.
Dengan pengumuman terbaharu daripada KWSP ini, lebih ramai pencarum layak untuk memohon kemudahan i-Sinar dan permohonan tersebut akan dibuka mulai Disember 2020. Kemudahan i-Sinar ini akan dikreditkan secara berkala sehingga 6 bulan bermula daripada tarikh pertama pengkreditan.
Infografik i-Sinar
KATEGORI INDIVIDU LAYAK MEMOHON
KWSP memaklumkan terdapat dua kategori pencarum yang layak untuk memohon kemudahan i-Sinar iaitu:
- Mereka yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau diberi cuti tanpa gaji.
- Mereka yang masih bekerja tetapi mengalami masalah pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020.
SYARAT KELAYAKAN
Bagi kategori 1, syarat kelayakan yang ditetapkan adalah seperti berikut:
- Ahli yang tiada caruman dengan KWSP selama 2 bulan berturut-turut; atau
- Ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas selepas Mac 2020.
Untuk kategori 2, syarat kelayakan untuk kategori ini adalah pencarum perlu mengemukakan dokumen sokongan iaitu:
- Slip gaji sebelum atau selepas pengurangan pendapatan.
- Notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.
KADAR PENGELUARAN I-SINAR KWSP
Umumnya, akses yang dibenarkan bagi kemudahan i-Sinar ini ialah 10% daripada Akaun 1 mereka dan tertakluk kepada baki minimum RM100.
Kemudahan i-Sinar ini terbahagi kepada dua kriteria iaitu:
- Ahli yang mempunyai baki Akaun 1 RM90,000 dan ke bawah dibenarkan untuk mengeluarkan wang sehingga RM10,000.
- Ahli yang mempunyai baki Akaun 1 RM100,000 ke atas dibenarkan untuk mengeluarkan 10% simpanan mereka dan maksimum pengeluaran adalah sebanyak RM60,000.
Bagi kriteria pertama, pihak KWSP akan mengkreditkan wang tersebut selama 6 bulan dengan pendahuluan bagi bulan pertama adalah sehingga RM5,000.
Untuk kriteria kedua, pendahuluan maksimum yang akan dikreditkan bagi bulan pertama adalah sehingga RM10,000 dan bakinya akan diberikan pada bulan-bulan seterusnya sehingga 6 bulan.
CONTOH SITUASI iSINAR
Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, sila rujuk jadual dibawah mengenai contoh berikut:
1. Kriteria: Baki Akaun 1 berjumlah RM90,000 dan ke bawah
Baki Akaun 1 | Pendahuluan Bulan Pertama | Maksimum Jumlah Pengeluaran Dibenarkan |
RM4,500 | Sehingga RM4,400 | RM4,400 |
RM10,000 | Sehingga RM5,000 | RM10,000 |
RM70,000 | Sehingga RM5,000 | RM10,000 |
2. Kriteria: Baki Akaun 1 berjumlah RM100,000 ke atas
Baki Akaun 1 | Pendahuluan Bulan Pertama | Maksimum Jumlah Pengeluaran Dibenarkan |
RM100,000 | Sehingga RM10,000 | RM10,000 |
RM500,000 | Sehingga RM10,000 | RM50,000 |
RM800,000 | Sehingga RM10,000 | RM60,000 |
PROSEDUR MEMOHON
Bagi kategori 1, pemohon boleh membuat permohonan i-Sinar seperti berikut:
- Permohonan perlu dibuat secara atas talian melalui https://isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.
- Tiada dokumen sokongan diperlukan.
- Kelulusan diberikan secara automatik melalui data dalam KWSP.
- Pembayaran akan dilakukan bermula pertengahan Januari 2021.
Bagi kategori 2, permohonan i-Sinar boleh dibuat seperti berikut:
- Permohonan perlu dibuat secara atas talian melalui https://isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021.
- Status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa 2 ke 3 minggu selepas pembayaran dibuat.
- Pembayaran akan dijalankan sebelum akhir bulan berikutnya selepas mendapat kelulusan.
SEMAKAN STATUS PENGELUARAN
Untuk check status i-Sinar melalui portal i-Sinar, sila ikuti langkah di bawah:
- Layari portal web rasmi iSinar KWSP di sini: https://isinar.kwsp.gov.my
- Sila cari butang SEMAK STATUS
- Untuk makluman, ahli hanya boleh membuat semakan bermula 4 Januari 2021.
Anda juga boleh membuat semakan status pengeluran melalui i-Akaun KWSP.
PERTANYAAN & MAKLUMAT LANJUT
Untuk pertanyaan lanjut mengenai kemudahan i-Sinar, sila hubungi pihak KWSP di talian 03-8922 6000 atau melayari https://www.kwsp.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut.
KOMEN TERKINI