DALAM USAHA MEMBANTU USAHAWAN DENGAN AKTIVITI-AKTIVITI PEMASARAN DAN KEUSAHAWAN, PUBI PERAK SELAKU PERSATUAN USAHAWAN DAN NGO PERAK YANG AKTIF DI BANDARAYA IPOH TIDAK MELUPAKAN GOLONGAN YANG MEMERLUKAN.

Terkini pada 29hb Disember 2019 yang lalu, JK Kebajikan & Kerohanian yang diketuai oleh Pn Norhuda Abd Razak serta AJK PUBI Perak telah mengadakan Program Ziarah Kasih JK Kebajikan & Kerohanian dengan melawat Pakcik Azmay Bin Jamail yang dikhabarkan menetap di sebuah ‘pondok’ usang di Rapat Jaya Tambahan, Ipoh Perak.

Pakcik Azmay yang berumur 67 tahun tinggal di rumah tersebut bersama dengan tujuh orang anak mereka di mana lima orang masih bersekolah dan dua anak lagi masih kecil.

Difahamkan, Pakcik Azmay mencari rezeki seharian untuk menampung keperluan keluarganya dengan mencari barangan terbuang untuk dijual manakala isteri beliau, Kak Lily yang berumur 40 tahun pula menjual kuih muih setiap pagi di kawasan tempat tinggal mereka ini.

Baca lanjut Aktiviti JK Kebajikan & Kerohanian ‘Membawa Anak-anak Yatim Beriadah’ –>

En. Helmi salah seorang Ahli Jawatankuasa PUBI Perak dan juga Ahli Mesyuarat HJ Kebajikan PUBI Perak berbual sesuatu dengan Pakcik Azmay

WALAU PUN LUMPUH KAKI MASIH TEKAD MENERUSKAN HIDUP

Selain itu, Pakcik Azmay juga menderita sakit lumpuh kaki sejak bertahun lamanya. Dalam keadaan yang kurang upaya beliau masih mencari rezeki bagi menjamin kelangsungan hidup keluarganya.

Untuk makluman semua, Pakcik Azmay dan keluarga telah tinggal bersama keluarganya di Tanah Rizah ini lebih 20 tahun hanya dengan membuat rumah yang sederhana (pondok) dan khemah sendiri.

Pihak Jawatankuasa Kebajikan dan Kerohanian dan AJK PUBI Perak yang hadir ke ‘pondok’ Pakcik Azmay ini sangat sedih dan hiba apabila menyaksikan kawasan yang diduduki keluarga Pakcik Azmay ini.

Pakcik Azmay juga memaklumkan bahawa keperluan seperti mendapatkan bekalan air bersih juga agak jauh dan perlu melalui tanah perkuburan cina bagi urusan sehari-harian seperti untuk air minuman dan mandian. Tambahan pula, keselamatan dari segala ancaman haiwan liar atau manusia juga tidak terjamin akan kerana kawasan yang diduduki mereka adalah terbuka.

Pihak Jawatankuasa juga ada mendapatkan pelbagai informasi daripada Pakcik Azmay tentang pelbagai aspek kehidupannya dan Alhamdulillah, beliau ada mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300.00 sebulan dan daripada Baitulmal sebanyak RM250.00 setiap bulan.

Bagi beliau keperluan itu sudah ‘mencukupi’ menampung kehidupan mereka yang sederhana serta mampu menampung keperluan asas keluarganya.

Kehadiran Jawatankuasa Kebajikan & Kerohanian PUBI Perak juga bukanlah sekadar tangan kosong, kami telah memberikan sumbangan bantuan ihsan berupa barangan keperluan asas kepada keluarga Pakcik Azmay bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh beliau dan keluarganya.

Baca Lanjut Aktiviti JK Kebajikan & Kerohanian PUBI Perak membantu bayi malang –>

JK Kebajikan & Kerohanian PUBI Perak menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada Pakcik Azmay

APABILA KITA SENANG INGATLAH GOLONGAN YANG MEMERLUKAN

Akhir kata, Jawatankuasa Kebajikan dan Kerohanian PUBI Perak akan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan sosial (CSR) disamping menjaga kebajikan ahli-ahli berdaftar PUBI Perak.

Kami beriltizam bukan sekadar membantu satu keluarga seperti keluarga Pakcik Azmay sahaja, malah kami ingin membantu mana-mana golongan yang memerlukan seiring dengan motto Jawatankuasa iaitu ” RESPONSIF, PRIHATIN, BERTANGGUNGJAWAB “.

Di samping itu PUBI Perak juga sedang mengumpul dana untuk Tabung Kasih PUBI Perak yang mana tabung ini akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti amal PUBI Perak pada masa hadapan.

Sumbangan / Derma / Tajaan dalam bentuk wang tunai boleh disalurkan terus ke akaun PERSATUAN USAHAWAN BERSATU IPOH PERAK : 5582 7500 8858 (Maybank) dan nyatakan “Derma Tabung Kasih” pada maklumat bayaran.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan tajaan atau sumbangan, boleh berhubung dengan Ketua JK Kebajikan dan Kerohanian PUBI Perak iaitu Pn Norhuda Abd Razak di nombor 017-536 9624 atau sila whatsapp melalui link –> www.wasap.my/60175369624/Tabung+Kasih

Sumbangan / Derma / Tajaan ikhlas anda yang perihatin serta murah hati, sangat kami hargai demi meraikan golongan yang kurang bernasib baik ini dan semoga usaha ini diberkati olehNya. Insyallah..

Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak adalah sebuah persatuan usahawan dan NGO Perak yang aktif di Bandaraya Ipoh. Persatuan yang berdaya saing ini sedang giat membantu masyarakat terutamanya golongan usahawan dengan menjalankan banyak aktiviti keusahawan, latihan serta kursus usahawan.

Di dalam usahanya membantu para usahawan dengan aktiviti-aktiviti pemasaran dan keusahawan, PUBI Perak selaku persatuan usahawan dan ngo perak yang aktif di Bandaraya Ipoh ini tidak melupakan golongan susah dan mereka yang memerlukan.

Insyallah

Pn. Norhuda Abd Razak
Ketua JK Kebajikan & Kerohanian PUBI Perek