ISU SEMASA – VIRAL ASNAF SELANGOR TINGGAL DI DALAM KHEMAH DI NEGERI SEMBILAN

Susulan tular kisah seorang pelajar UTM Skudai yang sedang mengikuti program Ph.D dalam jurusan kejuruteraan awam balik ke kampong halamannya di Malan, Dangi dan tinggal bersama Abang kandungnya dalam khemah usang.

Terdahulu pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga telah memberi menjelasan mereka terhadap isu ini. Terkini pihak Lembaga Zakat Selangor turut tampil memberi penjelasan seperti di bawah ini.

VIRAL ASNAF SELANGOR TINGGAL DI DALAM KHEMAH DI NEGERI SEMBILAN

Kami mendapat maklumat dari sahabat kami dari Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan malam tadi.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Pelajar Ph.D Kejuruteraan Awam UTM Tinggal Dalam Khemah

Adalah dimaklumkan bahawa apa yang ditularkan adalah tidak tepat.

Hasil siasatan mendapati asnaf tersebut merupakan asnaf yang berdaftar di Selangor sejak 2015.

Beliau yang merupakan bekas pengawal keselamatan (kontrak telah tamat) mempunyai 7 tanggungan dan menyara keluarga mengambil upah sebagai penjaga stor di Kepis, Negeri Sembilan.

Anak-anak beliau masih lagi menuntut di IPT, sekolah menengah dan rendah.

Alhamdulillah, pada tahun 2017, Zakat Selangor berjaya menyediakan sebuah penginapan untuk beliau di Klang.

Sepanjang PKP ini 3 orang anak berada di rumah beliau di Selangor. Salah seorang anak bekerja sebagai runner penghantar makanan.

Sejak hampir 5 bulan lalu, beliau sering berulang alik balik ke Kg Malan untuk mengusahakan tanaman semula getah di tanah peninggalan keluarga beliau di samping bercucuk tanam dan memelihara ternakan malah kerap menetap bersendirian di kampung.

Sepanjang beliau berulang alik sekali sekala ke Kg Malan, beliau telah membina pondok untuk berehat & kadang kala juga tidur bersama keluarga di kampung untuk mengusahakan tanah tersebut.

Bermula cuti sekolah yang lalu, beliau telah balik ke kampung bersama isteri dan 3 orang anak, dan serentak dengan itu juga PKP diistiharkan dan menyebabkan mereka terkandas di sana.

Situasi ini memaksa beliau terus menetap di pondok yang dibina.

Selain bantuan rumah, beliau turut dibantu dari segi pendidikan sekolah, pendidikan IPT dan bantuan raya.

Pagi ini, Zakat Selangor sempat menziarahi ke rumah beliau di Klang dan difahamkan bahawa beliau akan dibawa pulang hari ini dari Negeri Sembilan.

Kami turut menyalurkan beberapa keperluan makanan asas kepada keluarga beliau.

Malah rakan-rakan kami di Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan, Pejabat ADUN Johol, Masjid sekitar dan beberapa agensi lain juga turut menyantuni beliau di pondok Kg. Malan.

Moga dengan pencerahan ini, dapat memberi gambaran sebenar situasai yang berlaku.

Kami memohon pengguna-pengguna media sosial agar menahan seketika jari-jari kita sebelum menyebarkan sesuatu yang belum kita ketahui keadaan sebenar terutamanya di bulan yang mulia ini.

Kredit : Ustaz Shahril Ritin, Hj Ismail Bin Ab Rahman (Penolong Amil Kariah)

Sila rujuk :

Sumber: Lembaga Zakat Selangor