INFO-TIADA PRODUK ALKOHOL DI SEMUA CAWANGAN FAMILYMART

KUALA LUMPUR: QL Resources Bhd (QL), pemegang francais induk FamilyMart Malaysia menetapkan hala tuju jelas untuk tidak menjual minuman alkohol di semua cawangan sedia ada dan yang bakal dibuka di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Chia Song Kooi, berkata perkara itu akan dikekalkan selaras dengan inisiatif syarikat untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berstatus halal di semua rangkaian FamilyMart.

“Kami sudah menetapkan hala tuju untuk tidak menjual produk alkohol di semua cawangan FamilyMart dan ia akan kekal untuk semua cawangan baharu yang akan dibuka kelak,” katanya kepada BH selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 QL.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Kerajaan Negeri Perak Memberi Bantuan Kepada Peniaga Ipoh Night Market

Yang turut hadir, Pengerusi QL, Dr Chia Song Kun; dan Ketua Pegawai Kewangan QL, Kang Boon Beng.

Mei lalu, pemegang francais induk FamilyMart Malaysia itu mengumumkan pemberhentian penjualan minuman alkohol di semua 360 cawangan kedainya di seluruh negara sejak Mac lalu.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan ia mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus menjadikan FamiCafé sebagai kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia yang menerima sijil halal.

Pensijilan halal itu juga selari dengan usaha berterusan FamilyMart Malaysia untuk memastikan pelanggannya untuk berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was dalam premis miliknya.

Ketika ini, QL memiliki 372 cawangan FamilyMart di seluruh negara.

Syarikat itu menyasar membuka 60 kedai FamilyMart setahun bagi mencapai sasarannya memiliki 600 kedai menjelang 2027.

Mengulas lanjut, Song Kooi berkata, QL sudah melabur kira-kira RM200 juta untuk membuka 372 cawangan FamilyMart termasuk dua dapur pusatnya di Shah Alam, Selangor.

Katanya, syarikat itu berada pada landasan tepat untuk membuka 600 cawangan menjelang 2027 dengan sasaran masih berbaki sekitar tiga tahun lagi.

“Walaupun terdapat persaingan dengan kedai serbaneka lain, kami kekal optimis dengan hala tuju FamilyMart di Malaysia kerana kita menawarkan perkhidmatan yang berlainan dengan beberapa jenama lain termasuk pasar mini,” katanya.

Pada 2016, QL mengumumkan rancangan pelaburan RM100 juta untuk tempoh lima hingga enam tahun bagi mewujudkan kira-kira 300 cawangan kedai serbaneka terkemuka dari Jepun itu.

Dalam pada itu, Song Kooi berkata, QL kekal optimis tetapi berhati-hati dengan prospek perniagaan syarikat yang terbabit dalam empat segmen utama iaitu pembuatan produk marin; penternakan bersepadu; minyak sawit dan tenaga bersih; serta rangkaian kedai serbaneka.

“Walaupun faktor luaran kekal mencabar akibat perang dagang, krisis Russia-Ukraine serta cabaran ekonomi dunia, kami masih positif dengan perniagaan kami tahun ini,” katanya.

Sebarang Pertanyaan dan info lanjut sila layari laman web FamilyMart dipautan https://www.familymart.com.my/

Nota: Bagi anda yang ingin dapatkan pelbagai maklumat terkini terutama berkaitan bantuan kerajaan dan info-info berguna, sila ikuti group telegram kami melalui pautan https://t.me/joinchat/VkYkA8svZj3WB3hD atau join whatsapp group melalui pautan https://chat.whatsapp.com/KF7heUQLzkjD14T5MJHXNS