TERKINI: TAHNIAH, TIADA KES POSITIF RAKYAT TEMPATAN DALAM NEGARA

PENCAPAIAN membanggakan apabila tiada kes positif Covid-19 dicatatkan membabitkan rakyat tempatan di dalam negara, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini adalah pencapaian boleh dibanggakan selepas pelbagai usaha dilaksanakan menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan maklumat terbaharu daripada jumlah kes harian penularan dalam negara dalam kalangan warganegara.

Katanya, ini berdasarkan perbandingan graf pemodelan Covid-19 seperti diramal oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) dan ia sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan berkenaan.

“Ini menggambarkan impak positif tindakan diambil kerajaan serta pematuhan rakyat Malaysia terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan saranan kerajaan.

“KKM ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kerjasama dengan kerajaan dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Namun, masyarakat harus kekal waspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula esok adalah ujian sebenar rakyat Malaysia terhadap tahap disiplin kendiri dan sosial dalam kalangan masyarakat, dengan harapan dapat terus memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu.

Hari ini adalah hari terakhir Perintah Kawalan Pergerak Bersyarat (PKPB) dikuat kuasakan di negara ini sebelum PKPP bermula esok.

PKPP menyaksikan lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial dibuka kepada rakyat sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

Sumber: Harian Metro