TERKINI – PEMANDU SEBABKAN KEMATIAN SUAMI ISTERI SERTA KANDUNGAN 7 BULAN DIREMAN

PEMANDU yang merempuh dan menyebabkan kematian suami isteri dan anak dalam kandungan wanita itu di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang di sini, pagi semalam, direman dua hari bermula hari ini.

Perintah menahan reman itu dikeluarkan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, pagi ini selepas pemandu terbabit dibawa ke mahkamah oleh pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Pemandu berusia 34 tahun yang bekerja sendiri itu ditahan di IPD Alor Gajah sejak semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BACA LANJUT ARTIKEL SEBELUM INI: Wanita Hamil Tujuh Bulan Bersama Kandungan Dan Suami Maut Dalam Kemalangan

Lelaki terbabit dibawa ke mahkamah dengan berseluar pendek dan berbaju lokap jam 9 pagi ini bersama-sama beberapa orang kena tahan (OKT).

Pada kejadian jam 7.40 pagi semalam, lelaki terbabit yang dalam perjalanan dari arah Gadek ke Pulau Sebang di sini, merempuh Nur Ain Kamarulzaman, 25, yang hamil tujuh bulan dan suaminya, Mohd Hairawi Mat Rezam, 36, yang membonceng motosikal Yamaha.

Ketika kejadian, suami isteri itu dalam perjalanan dari Taman Rakyat, Kuala Ina, Pulau Sebang ke Hospital Melaka.

Sumber: Harian Metro