TERKINI: MEKAH DIBUKA SEMULA 31 MEI INI

MAKKAH: Arab Saudi mengumumkan “rancangan normalisasi dua fasa” pada awal Khamis (28 Mei) bagi Mekah dengan tujuan untuk melonggarkan langkah-langkah terhadap COVID-19 serta kembali ke kehidupan biasa secara beransur-ansur. Demikian dilaporkan agensi berita Anadolu hari ini.

Fasa pertama akan bermula pada 31 Mei di mana perihal memasuki dan meninggalkan Mekah bakal dibenarkan dari jam 6.00 pagi hingga 3.00 petang, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri melalui kenyataannya.

Solat Jumaat dan solat berjemaah di Masjid al-Haram akan diteruskan sejajar dengan langkah-langkah kesihatan sedia ada, tambah kenyataan itu.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Dilarang Berhimpun, Solat Di Dataran Masjidil Haram, Masjid Nabawi

Fasa kedua pula akan bermula pada 21 Jun di mana rakyat dibenarkan untuk keluar rumah antara 6.00 pagi hingga 8.00 malam.

Menurut kenyataan itu lagi, kedai dandan dan gunting rambut masih tidak dibenarkan dibuka manakala majlis perkahwinan serta upacara pengebumian boleh dihadiri oleh maksimum 50 orang.

Sejak virus korona baru itu muncul Disember tahun lalu di bandar Wuhan, China, ia merebak ke sekurang-kurangnya 188 negara dan wilayah.

Lebih 5.6 juta penduduk disahkan positif COVID-19 di seluruh dunia dengan hampir 355,000 kematian dicatatkan sejauh ini.

Sementara itu, 2.3 juta pesakit sudahpun sembuh daripada jangkitan tersebut. 

Sumber: Agenzi Berita, MalaysiaKini