KENYATAAN MEDIA PERSATUAN USAHAWAN BERSATU IPOH PERAK (PUBI PERAK) BERKAITAN INISIATIF BANTUAN KHAS KERAJAAN NEGERI PERAK SUSULAN WABAK COVID-19

20HB MAC 2020

Merujuk kepada Inisiatif Bantuan Khas Kerajaan Negeri Perak Susulan Wabak Covis-19 yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Hj. Dato’ Azumu pada 18hb Mac 2020 yang lalu.

Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI Perak) ingin mengesa Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya melanjutkan bantuan one off sebanyak RM500 tersebut kepada peniaga Pasar Malam dan Pasar Tani yang tidak berdaftar dengan PBT tetapi berdaftar dengan mana-mana persatuan Peniaga atau Usahawan di Negeri Perak ini.

Merujuk kepada notis FAQ yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar pada hari ini (20hb Mac 2020), Pihak Kerajaan Negeri Perak hanya akan mengkaji bantuan tambahan tersebut dari semasa ke semasa berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri. Ini membawa maksud bahawa semua peniaga yang tidak berdaftar dengan PBT tidak akan menerima apa-apa bantuan yang sewajarnya dari pihak Kerajaan Negeri Perak.

Umum mengetahui bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 17hb Mac sehingga 31hb Mac 2020 ini dan serentak dengan itu peniaga-peniaga Pasar Malam dan Pasar Tani telah dilarang untuk berniaga berkuat kuasa serta merta.

Ini menyebabkan golongan ini sangat terkesan dan terjejas dengan  situasi ini di mana punca pendapatan mereka adalah 100% daripada aktiviti berniaga di Pasar Malam dan Pasar Tani.

Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI Perak) sebagai salah sebuah NGO yang aktif dan prihatin  terhadap peniaga dan usahawan kecil di Bandaraya Ipoh ini telah menganjurkan 5 buah pasar malam sejak setahun yang lalu di sekitar Bandaraya Ipoh dengan kekuatan seramai 60 peniaga kecil di setiap pasar malam anjuran persatuan kami.

60 peniaga kecil ini bukanlah semuanya daripada golongan berada serta berkemampuan, kebanyakkan daripada mereka hanya bergantung kepada aktiviti pasar malam dan pasar tani sahaja untuk mencari makan dan rezeki.

Mereka pada waktu ini terpaksa menahan lapar dan mengikat perut mereka demi kelangsungan hidup pada waktu sukar ini serta terpaksa berjimat cermat.

Pihak Kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat sewajarkan lebih prihatin dan mengasihani golongan yang terjejas ini. Fikirlah bagaimana mereka di dalam keadaan sedih dan tertekan mengenangkan nasib yang sedang dialami oleh mereka pada waktu ini.

Kami percaya Pihak Kerajaan sangat bijak mengurus takbir dan Kerajaan Negeri kita bukanlah sebuah kerajaan yang miskin di mana pada 21hb Januari 2020 yang lalu Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri ada mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Perak telah mencatat surplus dengan lebihan kewangan sebanyak RM52.33 Juta bagi tahun 2019.

Kami juga sangat yakin dengan kebijaksanaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat menimbang semula bantuan one-off sebanyak RM500 kepada peniaga-peniaga pasar malam dan pasar tani di Negeri Perak ini seberapa segera yang boleh.

Ini bukan sahaja khabar berita buat kami semua malah akan meringankan beban yang ditanggung oleh peniaga-peniaga ini termasuklah kepada 60 orang peniaga kecil yang bernaung di bawah Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI Perak) ini.

Akhir sekali, kami ingin mencadangkan agar bantuan tersebut disalurkan melalui pihak persatuan agar pihak persatuan dapat menguruskan pengagihan bantuan tersebut kepada peniaga-peniaga yang terjejas dengan baik, lebih telus dan teratur.

Sekian, Terima Kasih.

‘Berakhlak, Berilmu, Bermotivasi’

PERSATUAN USAHAWAN BERSATU IPOH PERAK
(PUBI PERAK)