INFO: KEMPEN E-DAGANG PERUSAHAAN MIKRO DAN PKS PENJANA
30,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang baharu kepada e-dagang masing-masing akan menerima manfaat berjumlah lebih daripada RM1,500, sebagai sebahagian daripada komitmen Shopee dalam Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS PENJANA yang dilancarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) baru-baru ini.
Inisiatif ini, yang merupakan sebahagian daripada komponen ‘Propel Businesses’ dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek PENJANA, dijangka dapat merancakkan ekonomi dengan mempercepatkan digitalisasi di kalangan perniagaan tempatan serta memberi galakan kepada penjual yang baharu kepada e-dagang.
Pada bulan April dan Mei, Shopee dengan sukarela menyuntik RM15 juta ke dalam ekonomi Malaysia melalui Pakej Bantuan Peniaga Shopee demi membantu penjual baharu dan sedia ada untuk mengatasi kesan wabak Covid-19, yang mengakibatkan kehilangan pendapatan terutama semasa tempoh perintah kawalan pergerakan.
BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Permohonan Projek Pertanian Bandar 2020 (PENJANA)
Penyertaan dalam Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS PENJANA ini menjadikan pakej ini sebagai pakej bantuan kedua yang akan dibiayai oleh Shopee bagi perniagaan tempatan, dan kali ini dengan manfaat yang lebih baik.
MELALUI KEMPEN INI, MSME BAHARU DI SHOPEE AKAN MENDAPATKAN MANFAAT-MANFAAT BERIKUT:
- Jumlah baucar bernilai RM1,000 untuk kedai Shopee mereka bagi membantu memulakan dan menjana hasil jualan.
- RM500 dalam kredit iklan yang boleh digunakan oleh penjual untuk meningkatkan keterlihatan kedai dan produk mereka di Shopee.
- Penyertaan percuma dalam Pakej Penghantaran Percuma RM15 Shopee di mana perbelanjaan minimum untuk pembeli menikmati penghantaran percuma dikurangkan kepada RM15 berbanding dengan jumlah perbelanjaan minimum biasa platform iaitu RM40, menjadikan kedai MSME lebih menarik kepada para pengguna.
- Penyertaan percuma dalam Program Pulangan Tunai Syiling Shopee di mana pembeli akan mendapat manfaat daripada pulangan tunai 10% tanpa perbelanjaan minimum, tanpa had dalam bentuk baucar Syiling Shopeeapabila mereka berbelanja di kedai-kedai MSME baharu ini. Syiling Shopee yang diperoleh membolehkan pembeli berjimat dalam pembelian masa depan. Ini akan membantu mendorong pembelian berulang dan menjana lebih banyak penggunaan bagi ekonomi tempatan.
Insentif yang ditawarkan kepada MSME adalah tambahan kepada semua manfaat penjual Shopee yang sedia ada seperti komisen 0% untuk peniaga di pasaran atau marketplace, yuran penyenaraian 0%, tiada bayaran pendaftaran dan latihan e-dagang percuma melalui Shopee University.
Bagi memenuhi syarat penyertaan kempen ini, penjual mestilah merupakan MSME atau individu berwarganegara Malaysia, perlu mendaftar sebagai penjual Shopee dari 1 Januari 2020 dan selepasnya dan mempunyai kurang daripada 10 pesanan yang disempurnakan sebelum 1 Julai 2020.
Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee juga memberi penjelasan mengenai industri ini, “Perusahaan kecil dan sederhana menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Malaysia pada tahun 2018. Ini menunjukkan betapa pentingnya sektor ini untuk dipulihkan berikutan kesan buruk Covid-19. Keadaan semasa mendorong perubahan dalam pertumbuhan ekonomi digital ketika perniagaan mencari saluran penjualan alternatif untuk terus bertahan.
Oleh itu, rancangan PENJANA dipersiap dengan teliti demi membantu perniagaan tempatan dalam perjalanan digitalisasi mereka ketika ekonomi beralih ke arah pemulihan. Sebagai pemain e-dagang terbesar di negara ini, Shopee berusaha untuk melaksanakan tugas kami dan memenuhi komitmen kami kepada Kementerian Kewangan dan MDEC.”
“Oleh itu, jika anda mengkaji bagaimana manfaat Shopee dibentuk, anda akan menyedari bahawa ia menumpukan pada bantuan bagi MSME untuk memulakan perjalanan penjualan atas talian mereka, menggalakkan pesanan, memberikan pendedahan dan yang lebih penting lagi, menjana penggunaan untuk ekonomi tempatan. Dengan ini, kami berharap MSME di negara ini akan menerima galakan ini dan prospek ekonomi akan bersifat lebih optimis,” kata Ho.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS di Shopee, kunjungi: https://shopee.com.my/m/msmecampaign
Mengenai Shopeee:
Shopee ialah platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan. Shopee dilancarkan di 7 pasaran pada tahun 2015 untuk menghubungkan pengguna, penjual, dan perniagaan di rantau ini.
Shopee menawarkan pengalaman yang mudah, selamat, dan menarik yang dinikmati oleh berjuta-juta pengguna setiap hari. Ia menawarkan pilihan produk yang luas, disokong oleh pembayaran dan logistik bersepadu, serta ciri-ciri hiburan popular yang disesuaikan untuk setiap pasaran. Shopee juga merupakan penyumbang utama kepada ekonomi digital di rantau ini dengan komitmen teguh untuk membantu jenama dan usahawan berjaya dalam e-dagang.
Shopee adalah sebahagian daripada Sea Limited (NYSE:SE), sebuah syarikat internet pengguna global terkemuka. Selain daripada Shopee, perniagaan teras Sea termasuk bahagian hiburan digital, Garena, dan bahagian perkhidmatan kewangan digital, SeaMoney. Misi Sea adalah untuk menaiktaraf kualiti kehidupan pengguna dan perniagaan kecil menerusi penggunaan teknologi.
Sumber: Majalah Labur, Shopee
KOMEN TERKINI