INFO: BANTUAN KECEMASAN KELANGSUNGAN HIDUP MAIPk

Pada 9 Jun 2021 yang lalu, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah bertitah susulan arahan PKP 3.0 yang diumumkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini

Memahami kesan langsung yang menjejas hidup rakyat terutama dalam kalangan asnaf fakir-miskin dan mereka yang tidak berpendapatan tetap dan Baginda turut memahami tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan yang memerlukan peralatan rawatan dan perubatan tertentu untuk menangani wabak; Baginda juga peka terhadap kebajikan para petugas pasukan keselamatan yang sedang berada di barisan hadapan.

Dengan itu, Baginda telah menitahkan agar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak menyediakan dana khas bantuan sebanyak RM14.6 Juta bagi tujuan-tujuan khas untuk membantu Rakyat serta golongan yang terjejas.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Panduan Permohonan Rayuan BPR Online (Mulai 15 Jun 2021)

Susulan daripada titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan itu, sukacita diumumkan bahawa pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak telah mengumumkan Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup MAIPk kepada seluruh rakyat negeri perak yang berkenaan.

Pengumuman tersebut telah dibuat di laman Facebook rasmi Zakat Perak-MAIPk dan laman web rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

BANTUAN KECEMASAN KELANGSUNGAN HIDUP MAIPk

Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup MAIPk adalah bantuan yang disasarkan kepada penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk dan Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji kerana majikan menghentikan operasi atau sebab-sebab lain yang munasabah.

Bantuan ini bertujuan untuk mengurangkan bebanan kehidupan golongan yang terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0.

Berdasarkan siaran media bertarikh 10 Jun 2021, MAIPk memperuntukkan sebanyak RM10,900,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Juta Sembilan Ratus Ribu) khusus untuk membantu golongan sasaran melalui Skim Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup ini.

Segala keputusan dan pertimbangan adalah tertakluk kepada kelayakan dan peruntukan dana yang telah disediakan.

KATEGORI PENERIMA BANTUAN KECEMASAN KELANGSUNGAN HIDUP MAIPk

MAIPk mensasarkan bantuan ini kepada 3 kategori penerima seperti berikut:

KATEGORI PERTAMA

Penerima Bantuan Kewangan Bulanan dan Sewa Rumah yang berdaftar di bawah MAIPk sehingga bulan Jun 2021.

KUMPULAN SASAR :

  • Penerima Bantuan Kewangan Bulanan Fakir/Miskin,
  • Muallaf dan Anak Yatim;
  • Sewa Rumah

KATEGORI KEDUA

Golongan bersasar yang diuruskan oleh pihak MAIPk dengan kerjasama agensi kerajaan dan persatuan/ Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Nota : Individu mestilah berdaftar dan masih aktif di bawah agensi dan pertubuhan / persatuan berkaitan sehingga 31 Mei 2021.

KUMPULAN SASAR :

  • Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Maahad Tahfiz Quran (MTQ) dan Pondok (berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak)
  • Peniaga Pasar Tani yang berdaftar di bawah agensi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
  • Peniaga dan Penjaja Kecil yang berdaftar di bawah Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak (PPPKM)
  • Usahawan Asnaf (berdaftar di bawah MAIPk)
  • Pemandu Teksi yang berdaftar di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)
  • Pemandu Lori / Pemandu Bas yang berdaftar di bawah Persatuan Pemandu Lori & Bas Perak (PPLBP)
  • Orang Kelainan Upaya (Penerima bantuan EPC di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat)
  • Orang Kelainan Upaya (Cacat Penglihatan) yang berdaftar di bawah Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Perak
  • Pengusaha dan Pekerja SPA yang berdaftar di bawah Persatuan Usahawan SPA Perak (SISPA)
  • Pekerja di Pusat Latihan Kemahiran yang berdaftar di bawah Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FEMAC)
  • Tenaga Pengajar yang memegang Sijil Pengajar Institut Memandu yang masih aktif di Institut Memandu yang terlibat di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

KATEGORI KETIGA

Golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0). Golongan ini terdiri daripada mereka yang tidak termasuk dalam senarai kategori Pertama dan Kategori Kedua.

SYARAT KELAYAKAN YANG DITETAPKAN OLEH MAIPk UNTUK KATEGORI KETIGA

Syarat kelayakan untuk menerima bantuan ini ialah:
a) Beragama Islam;
b) Warganegara Malaysia;
c) Bermastautin atau bekerja di Negeri Perak;
d) Mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Perak iaitu RM2,077.00;
e) Terkesan dengan Pandemik COVID-19 sama ada tidak dapat menjalankan urusniaga / pekerjaan harian / diberhentikan kerja / direhatkan tanpa gaji;
f) Berkeluarga (hanya ketua keluarga sahaja boleh memohon);
g) Ketua isi rumah atau pasangan tidak tergolong dalam kategori pertama (penerima bantuan kewangan bulanan dan sewa rumah MAIPk) atau kategori kedua; dan
h) Memiliki akaun bank atas nama penerima bantuan, dan jika tiada, dibenarkan atas nama pasangan atau anak sahaja.

CARA UNTUK MEMOHON BANTUAN

Bagi penerima bantuan kategori pertama, penerima tidak perlu membuat apa-apa permohonan. Bantuan akan disalurkan secara automatik ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula bulan Jun 2021.

Bagi penerima kategori kedua pula, Pihak MAIPk akan mendapatkan senarai ahli yang berdaftar dan masih aktif (sehingga 31 Mei 2021) daripada Agensi atau Persatuan yang mewakili individu dalam kategori tersebut.

Manakala bagi penerima kategori ketiga, penerima bantuan kategori ini akan dikenalpasti oleh jentera kerajaan di peringkat daerah, mukim dan kampung, melibatkan penghulu mukim dan ketua kampung serta jawatankuasa masjid di kawasan tempat tinggal masing-masing bermula 21 Jun 2021.

Untuk makluman, setiap individu yang tergolong dalam mana-mana kategori, akan menerima bantuan daripada SATU kategori sahaja.

JUMLAH BANTUAN KECEMASAN KELANGSUNGAN HIDUP MAIPk

Berikut adalah jumlah bantuan yang akan disalurkan oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kepada penerima yang berkelayakkan;

  • Kategori Pertama : Bantuan secara tunai “one-off” sebanyak RM200.00 setiap ketua isi rumah.
  • Kategori Kedua : Bantuan secara tunai “one-off” sebanyak RM400.00 setiap ketua isi rumah.
  • Kategori Ketiga : Bantuan secara tunai “one-off” sebanyak RM400.00 setiap ketua isi rumah.

SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN SKIM BANTUAN KECEMASAN KELANGSUNGAN HIDUP MAIPk

PERTANYAAN LANJUT

Untuk sebarang pertanyaan mengenai Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup MAIPk, sila hubungi pihak MAIPk seperti maklumat yang disediakan di bawah ini atau layari laman web rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak
Tingkat 1, Kompleks Islam Darul Ridzuan,
Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,
30000 Ipoh, Perak

Waktu Berurusan :

  • Isnin – Khamis (8.00 pg – 1.00 ptg | 2.00 ptg – 5.00 ptg)
  • Jumaat (8.00 pg – 12.15 tgh | 2.45 ptg – 5.00 ptg)

Nota: Waktu Berurusan secara bersemuka adalah dihadkan sewatu PKP

Nombor untuk dihubungi :

  • Tel: 05 208 4000, 05 241 4257
  • Pemasaran > 05-2084100
  • Agihan > 05-2084119, 05-2084120, 05-2084130
  • Wakaf  > 05-2431398, 05-2431399
  • Hibah > 05-2084121

Email: korporat@maiamp.gov.my

Nota: Bagi anda yang ingin dapatkan pelbagai maklumat terkini terutama berkaitan bantuan kerajaan dan info-info berguna, sila ikuti group telegram kami di https://t.me/joinchat/VkYkA8svZj3WB3hD