DENGAN TAGLINE ‘LAMBANG CINTA ABADI’, JENAMA INI SUDAH BERJAYA MENEMBUSI PASARAN INDONESIA YANG MEMANG TERKENAL DENGAN PENGHASILAN TELEKUNG-TELEKUNG YANG CANTIK DAN JUGA BERKUALITI.

Jenama telekung siti khadijah (sk) sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dan tentunya tidak mudah untuk mencipta kejayaan seperti sekarang. Pelbagai cabaran serta dugaan yang telah terpaksa dihadapi sepanjang menjalankan perniagaan ini.

Bagi pemilik dan pengasas Butik Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd, Puan Hajah Pazdilah Enda Sulaiman, beliau tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang usahawan apatah lagi untuk menghasilkan telekung eksklusif. Tetapi semuanya berubah apabila beliau merasakan sukar untuk mendapatkan telekung yang selesa dan memenuhi citarasanya.

Jadi dengan sedikit asas jahitan yang dimiliki, beliau telah menggaji seorang pekerja untuk sama-sama membantunya dalam menghasilkan jenama tudung SK. Sebelum memulakan perniagaan ini, beliau tekun melakukan kajian, pembangunan dan juga inovasi supaya rekaan yang dihasilkan nanti bersesuaian dengan trend fesyen ketika itu.

Baca Rahsia Pengutip Sampah Kini Menjadi Usahawan Berjaya –>



BENARLAH KATA ORANG, UNTUK BERJAYA KITA PERLU MENGORBANKAN BANYAK MASA

Bayangkan, beliau terpaksa bersengkang mata sehingga pukul 3 pagi bagi menyiapkan jahitannya! Dugaannya tidak terhenti di situ. Beliau juga mengalami masa-masa sukar apabila 200 pasang telekung yang dijahit tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan. Ini kerana harga telekung rekaannya dirasakan terlalu mahal.

Tetapi wanita hebat ini tidak berputus apa. Beliau melakukan aktiviti promosi dan pemasaran dipelbagai medium seperti akhbar, majalah, laman web dan sebagainya. Usaha ini membuahkan hasil apabila jenama SK semakin dikenali dan diminati oleh golongan Muslimah yang mementingkan keselesaan dan rekaannya bukan sahaja cantik, tetapi eksklusif.

Mungkin ada yang menyangka cabarannya terhenti apabila jenama ini semakin terkenal. Tetapi realitinya, apabila jenama ini mula mendapat tempat di hati pengguna, masalah lain pula timbul. Jenama ini mula mendapat masalah dari segi hak cipta pula apabila ada pihak lain yang cuba meniru rekaan SK sehingga mereka terpaksa mengambil tindakan mahkamah. Penat lelah yang dicurah selama ini tidak terbuang begitu sahaja apabila mereka memenangi kes ini.

Kesabaran serta ketekunan Puan Padzilah telah membuatkan jenama SK menjadi telekung yang bukan sahaja mendapat tempat dihati pengguna di Malaysia, tetapi juga pengguna lain di rantau ini. Kini beliau mampu tersenyum dengan empayar perniagaan yang dimilikinya. Kisah beliau boleh dijadikan inspirasi bagi suri rumah di luar sana yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan sendiri.

Semoga kisah kejayaan Jutawan Telekung ini menjadi sumber inspirasi buat semua pembaca usahawan yang ingin berjaya pada masa hadapan. Insyallah..

Sumber Rujukan:

  1. http://sitikhadijah.com.my/2018/06/29/kenali-pengasas-telekung-siti-khadijah/
  2. https://www.thevocket.com/19-mutiara-yang-saya-kutip-dari-pertemuan-dengan-pengasas-telekung-siti-khadijah/
  3. http://www.agendadaily.com/CATATAN-ODAH/saya-layan-dengan-senyum-pengasas-telekung-siti-khadijah.html
  4. http://www.sinarharian.com.my/rencana/telekung-siti-khadijah-ke-persada-dunia-1.318907