Gambar: Harian Metro

TERKINI: BAYARAN FASA KETIGA BAGI BANTUAN SARA HIDUP (BSH) AKAN DIBUAT SEBELUM AKHIR JULAI INI

BAYARAN fasa ketiga bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibuat sebelum akhir Julai ini yang membabitkan lima juta penerima. Ia meliputi 3.8 juta isi rumah dan 1.2 juta individu bujang dengan implikasi kos sebanyak RM3 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penerima kategori isi rumah juga akan menerima tambahan bantuan RM120 bagi setiap anak berusia bawah 18 tahun dengan maksimum empat orang anak.

“Sebagai contoh, isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 dengan empat orang anak akan mendapat RM1,080 secara keseluruhan bagi bantuan BSH ini,” katanya dalam laporan Laksana ke-11 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), semalam.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Semakan Pembayaran Rayuan BPN Fasa 3 Mulai 24 Jun

Untuk pemberian BSH, isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 akan menerima bayaran sebanyak RM600 manakala isi rumah dengan pendapatan antara RM2,001-RM3,000 (RM350).

Bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001-RM4,000 akan menerima BSH sebanyak RM250 manakala golongan bujang (40 tahun ke atas) berpendapatan kurang RM2,000 (RM400).

Menurutnya, seperti diumum sebelum ini, pelaksanaan pembayaran secara tunai Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan fasa kedua serta fasa ketiga BSH 2020 bagi kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang tiada akaun bank bermula 1 hingga 31 Julai 2020 dengan diselaras Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMSabah) dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMSarawak).

“Usaha ini bakal memanfaatkan 53,325 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM28.7 juta.

“PMSabah dan PMSarawak turun ke lokasi ditetapkan di kawasan pedalaman bagi memudahkan urusan penerima di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, sehingga 26 Jun lalu, 10.215 juta penerima BPN menerima bantuan ini yang membawa keseluruhan bayaran BPN ke RM10.90 bilion (daripada RM10.88 bilion minggu lalu) yang mewakili 97.32 peratus tahap pelaksanaan.

Katanya, antara 19 hingga 26 Jun, sebanyak RM20 juta dibayar kepada 25,000 penerima BPN melalui bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.

“Bayaran rayuan BPN kepada perayu yang lulus dibayar mulai dari 24 Jun dan sehingga 29 Jun, peruntukan yang terbabit adalah sebanyak RM139 juta,” katanya.

Sumber: Harian Metro