Kredit foto: BERNAMA

(VIDEO) 133 RAKYAT MALAYSIA DARI WUHAN SELAMAT TIBA DI KLIA

SEPANG, 4 Feb – Pesawat khas yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang dilanda wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi ini.

Pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu, tiba pada 5.57 pagi.

Seramai 107 orang dibawa pulang melalui penerbangan khas itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Agong Puji Langkah Kerajaan Cegah Koronavirus –>

Penerbangan itu turut membawa 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan 133 orang jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat dari Wuhan, lokasi yang dikenal pasti sebagai punca penularan virus tersebut.

Pesawat khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 3.50 petang Isnin bersama 12 kru dan lapan petugas misi HADR.

Pesawat itu turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China untuk membantu menangani penularan k0r0navirus di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata semua penumpang, pasukan misi dan kru akan menjalani tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA sebaik sahaja tiba di tanah air.

Mereka yang mempunyai simptom akan dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan terus ke Pusat Pemantauan.

WHO Isytihar Koronavirus Kecemasan Kesihatan Global –>

Sumber : Bernama