COVID-19: 971 KES POSITIF BERKAIT RENTAS NEGERI

KUALA LUMPUR: Sebanyak 971 kes positif COVID-19 atau kira-kira 14.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 mempunyai sejarah merentas negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan, juga berkaitan dengan aktiviti merentas negeri.

“10 daripada kluster-kluster itu masih aktif,” katanya pada sedang media harian, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan khuatir dengan peningkatan pergerakan dan perjalanan individu merentas negeri, terutamanya menjelang perayaan yang bakal tiba.

“Kementerian Kesihatan menghargai usaha dan berterima kasih atas tindakan penguatkuasaan oleh pihak polis bagi memastikan pematuhan masyarakat kepada syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat terus kekal tinggi.

“Ini penting supaya orang ramai tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Sumber: BH Online